Resepi Sambal Sotong Sedap
Banyak resepi dan cara mengolah sotong untuk menjadi satu hidangan yang sedap. Kalau tanya anak-anak, tak lain tak bukan sotong goreng salut tepunglah jawabnya! Kalau sotong goreng salut tepung saja yang Amie buat setiap kali ada sotong, nampaknya tak bertambahlah resepi sotong di dapur maya ini. Petang tadi pun hampir-hampir juga Amie buat sotong goreng salut tepung... apalagi ada seikat daun ketumbar segar di dapur. Memang dah terbayang sotong goreng salut tepung dengan hirisn daun ketumbar dan tabur sedikit jintan manis biji!
Amie pun tak perasan bila sotong ada dalam peti sejuk. Mungkin dua atau tiga hari lepas Encik Suami yang membelinya, dan terus dimasukkan dalam peti sejuk sebab Amie lihat masih belum dibersihkan. Ada tiga ekor kesemuanya, dan saiznya sederhana besar. Ikut timbangan congak dan kebiasaan, Amie rasa lebih kurang 1 kg.
Sambil masak nasi, sambil menyiang ikan tongkol... sambil-sambil memikirkan masakan apa yang sesuai untuk sotong nan 3 ekor ini. Pada mulanya Amie nak masak sambal ikan tongkol. Siaplah sudah semua bahan Amie sediakan. Entah mengigau apa ke... akhirnya Amie goreng saja ikan tadi, dan masak sayur kobis. Bahan untuk sambal ikan Amie gunakan untuk masak sotong! Ha ha hahah... lain yang dirancang, lain yang masuk kuali.
Dulu.... masa mula-mula masak sambal sotong, macam-macam rupa yang dihasilkan! Sambal sotong tak pekat.... cair berair sebab air sotong banyak keluar! Bila masak lama sedikit sebab nak keringkan airnya, sotongnya pulak jadi keras liat macam getah! Dah tak berselera nak makan pulak. Apalagi kalau nak jadikan sambal sotong sebagai lauk nasi lemak. Memang tak sesuai langsung, sebab kuahnya yang banyak akan mencacatkan rasa nasi lemaknya pula! Lama-lama, hasil pengamatan dan pengalaman tahulah Amie di mana kelemahannya. Jadi, Amie pun keluarkan terlebih dahulu air sotong dengan cara memanaskannya di dalam kuali selama beberapa minit sehingga keluar segala air yang terkandung di dalam badan sotong tadi dan kemudian toskan sehingga kering. Kemudian barulah Amie masak sotong tersebut.
Mungkin orang lain ada caranya yang tersendiri, sebab Amie pernah dengar ada yang tambahkan sedikit air bersama sotong dan kemudian direbus bersama sehingga keluar air sotong. Selepas itu ditoskan. Mana-manalah kaedah yang sesuai kaaan...
Sekarang Amie nak kongsi resepi Sambal Sotong yang sedap ni.
Bahan-bahan:
1 kg sotong - bersihkan dan potong ikut suka
1 labu bawang besar - mayang kasar
1 sudu teh pati asam jawa
2 sudu makan gula pasir
minyak
garam / perasa pilihan
Bahan kisar:
20 biji cili kering
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
1 cm belacan
1 cm halia
1 batang serai - ambil isinya yang putih & lembut - hiris
Cara:
1. Masukkan sotong ke dalam kuali dan pasangkan api dapur. Biarkan air sotong keluar selama 3-5 minit. Balik-balikkan sotong sekali-sekali supaya air sotong keluar sekata.
2. Keluarkan sotong dan toskan hingga kering.
3. Panaskan sedikit minyak dan tumis bahan kisar sehingga terbit minyak.
4. Masukkan pati asam jawa serta gula pasir serta bawang besar dan seterusnya masukkan sotong.
5. Gaul rata semua bahan, dan tambahkan garam / perasa pilihan secukupnya.
Hasilnya, Sambal Sotong anda tidak berair!
Post a Comment