Kuih Nona Manis Berhari Raya Aidil Adha
Resepi ini saya ambil dari blog Ita, blogger yang sangat berbakat dan sangat tinggi pulak budi bahasanya dalam berbicara di dalam tulisannya. Walaupun belum pernah bertemu secara in person tapi saya boleh bayangkan ketinggian akhlak Ita yang umpama seorang Nona Manis. Jauh jauh di sudut hati, saya bangga dengan Ita yang dikurniakan segala kelebihan yang tiada pada orang lain. Boleh klik di SINI untuk melihat entri Ita. Kuih yang Ita hasilkan memang cantik, terserlah kehalusan Ita di dalam menyediakannya. Sedangkan saya memasak dalam keadaan sudah keletihan selepas sejak pagi berada di dapur memasak Gulai Kawah Daging, kemudian memasak pula Ikan Siakap Masak Bercili dan ikan Terubuk Bakar seorang diri. Macam mana lah agaknya keletihan seorang suri rumah yang melakukan kerja rumah setiap hari dari pagi sehingga ke lewat malam. Hmm memang saya tak sanggup dan tak berupaya melakukannya...
Setelah melihat resepi hanya menggunakan bahan yang ringkas, saya menjadi lagi teruja untuk mencubanya. Lebih lebih lagi bila Ita menulis rasanya bak kuih tepung pelita yang sedap dengan gandingan rasa manis serta rasa lemak masin. Terima kasih Ita. Kuih ini memang nampaknya sangat popular di Indonesia dengan banyak blogger masakan di sana yang telah berkongsi kuih ini di dalam blog mereka.
Memang sangat sedap kuih ini, lepas sebiji sebiji saya makan kerana rasanya yang manis, lemak masin memang sangat serasi. Walaupun kuih yang saya hasilkan tidak cantik kejadiannya tapi cukuplah untuk menghilangkan keinginan saya untuk menikmati Kuih Nona Manis ini. Kalau sekali lagi saya memyediakan kuih ini, saya akan pastikan adunan C lebih pekat sedikit supaya ianya kemas bila dipicit dalam acuan kuih lompang. Ini adalah kerana bila adunan tidak cukup pekat, ianya akan melimpah keluar dari adunan hijau.
Jom layan resepi dulu. Saya juga buat menggunakan resepi Ita yang telah diubahsuai untuk 1/2 adunan, dapatlah dalam 25 ketul saiz acuan lompang kecil.
Kuih Nona Manis
Oleh: Azie Kitchen
Bahan A
1 biji telur
1/2 cawan gula halus
1 cawan santan ~ campur santan kotak dg sedikit air jadikan 1 cawan
1 cawan tepung gandum
Pukul telur hingga kembang atau boleh juga dikisar dengan blender.
Dalam bekas lain, satukan gula, tepung gandum dan santan, kacau rata.
Akhir sekali, tuangkan adunan telur ke dalamnya dan pukul atau kacau rata. Saya kisar dengan blender. Bila dah siap ketepikan
Bahan B
1/2 cawan santan pekat
1/2 cawan air daun pandan ~ ambil 5 helai daun pandan dan kisar dengan 1/2 cwn air dan tapis
1/4 cawan gula halus
1/4 cawan tepung jagung
Secubit garam
Sedikit pewarna hijau apple
Satukan gula, tepung jagung, garam dan sedikit pewarna hijau. Kemudian masukkan santan yang dicampur dengan air daun pandan. Kacau sampai rata dan tidak berbintil-bintil.
Kemudian masak dengan api sederhana hingga ia meletup-letup, berkilat dan sedikit pekat. Angkat dari dapur dan biarkan sehingga suam suam kuku.
Tuangkan adunan A ke dalam adunan B. Kacau rata sehingga ia menjadi adunan yang pekat dan licin. Saya kisar dengan blender bagi menjadikan adunan yang sebati.
Ketepikan dahulu sementara kita sediakan adunan putih
Bahan C
1 cawan santan pekat ~ guna 1 kotak santan dicampur sedikit air dijadikan untuk 1 cawan
1 sudu besar tepung gandum
1 sudu besar gula pasir
1/2 sudu kecil garam halus
Satukan semua bahan C dan kacau rata. Kemudian masak atas api sederhana sambil sentiasa di kacau hingga ia pekat.
Tunggu suam sedikit dan masukkan dalam piping bag atau bag plastik (bahagian hujung bag plastik).
Cara Membuat Kuih Nona Manis:
Panaskan periuk pengukus sehingga airnya mendidih. Balut tutup kukusan dengan kain supaya air pada tutup kukusan tidak menitis pada kuih.
Sediakan acuan lompang yang kecil, oleskan acuan lompang dengan minyak jagung.
Tuangkan adunan hijau dalam acuan lompang hingga 3/4 cawan acuan lompang. Kemudian paipkan adunan putih di tengah-tengah adunan hijau sehingga adunan naik memenuhi acuan cawan lompang.
Susun dalam kukusan. Kukus selama 7 hingga 10 minit. Angkat dan biarkan sejuk sebelum di keluarkan dari acuan.
Post a Comment