Sedap Nyeer Kuih Bakar Kemboja




Kuih Bakar Kemboja adalah salah satu dari jenis kuih muih kegemaran saya terutama di bulan Ramadhan. Kuih Bakar yang dijual di cafetaria, memang sangat sedap. Sesuai jer dari segi kelembutan dan kemanisannya dengan citarasa saya. Kuih ini jika keras dan tak lemak, memang tak sedap. Mengikut resepi yang diolah oleh Syazwani, air jus daun pandan, boleh ditambah 1/4 cawan lagi bagi mendapatkan kuih yang lembut. Atau sebagai alternatif, boleh tambah 1 biji telur. Tapi saya memilih untuk menambah 1/4 cawan santan. Haa ada cerita disebalik santan ni. 




Pagi pagi selepas kuliah Dhuha di surau, saya dan Boy ke Albi Petzone Puchong untuk menghantar Demy ke rumah Isam. Pagi pagi lagi jalan raya dah jam di sana sini, bayangkan hampir setengah hari berada di jalan raya. Semasa dalam perjalanan balik, saya teringin nak makan nasi Ayam Kak Laily, lalu Boy singgah di Pasar Subang Jaya. Waktu dah tengahari, jadi banyak gerai yang telah ditutup. Saya tercari cari gerai menjual santan kerana mereka sedang membersihkan gerai. Melihat saya tercari cari, tuan punya gerai memberi saya 2 pek plastik santan secara percuma. Jadi saya pun mengucapkan terima kasih dan memberitahu yang saya akan membuat kuih untuk dihantar ke surau. Mendengar itu, beliau menggantikan dengan satu pek plastik besar santan. Itulah, makanya santan mewah dalam kuih ini. Semoga Allah memberikan mereka ganjaran yang besar dengan sikap pemurah. 





Kuih ini juga antara kuih pilihan saya bila setiap kali memikirkan apa kuih yang hendak dibuat sebab ianya sangat cepat menyediakannya dan juga sangat sedap. Sebenarnya inilah kali pertama, saya membuat Kuih Bakar menggunakan acuan Bahulu Kemboja dan menggunakan dapur gas pula. Hati sangat teruja melihat ianya berkerak seperti yang dijual di kedai selama ini. Kalau bakar menggunakan oven, hanya permukaan atas yang garing, sedangkan bawah dan keliling tak menjadi garing berkerak pun. Hahaha tapi ada satu tu terlebih kerak, gara gara terlupa nak kecilkan api. Biasalah kan...manusia mana ada yang sempurna. Kesempurnaan hanya milik Allah.

Jom layan resepi dulu yang telah diolah oleh Syazwani Adnan. Terima kasih berbanyak banyak kerana berkongsi ilmu yang bermanafaat....




Kuih Bakar Kemboja

Bahan bahan:
2 cawan tepung gandum
2 1/2 cawan santan 
1 cawan jus pandan 
1 cawan gula - saya guna 3/4 cawan
2 sudu besar butter - cairkan
3 biji telur 
1/2 sudu kecil garam
Pewarna hijau
Sedikit bijan - untuk ditabur

Cara-cara:
Campurkan semua bahan dan blend sampai sebati dan tepung tidak berbintil. 

Panaskan acuan kuih terlebih dahulu di atas api dapur. Kalau mahu elakkan dari adunan melekat pada loyang, penuhkan loyang dengan minyak masak. Lepas tu panaskan sehingga keluar asap (betul betul panas). Kemudian tuang (keluarkan) minyak tu dari acuan. Kecilkan api sekecil kecilnya. 





Lenser minyak atau butter pada acuan dan tuang adunan ke dalamnya. Kemudian taburkan bijan di atasnya.





Masak sebentar di atas dapur gas selama 5-10 minit dengan api yang sangat kecil bertujuan untuk dapatkan kulit yang agak garing. Kemudian sambung bakar kuih di dalam oven suhu 180C selama 30 - 40 minit hingga permukaan kuih nampak keperang-perangan.






Bila dah sejuk, bolehlah dipotong mengikut bentuk acuan. Untuk adunan di atas, menghasilkan 4 biji Kuih Bakar Kemboja yang bila dipotong, dapat 32 keping.





No comments

Powered by Blogger.