Laksa Kelantan Untuk Sarapan Pagi




Laksa ini dimasak oleh kakak saya untuk sarapan pagi sewaktu saya balik kampung semasa Bonda saya kembali ke rahmatullah. Kuah laksam dan kuah laksa adalah sama, jadi boleh sediakan kedua duanya sekali sebagai mempelbagaikan hidangan. Untuk melihat cara penyediaan laksam, boleh klik di SINI. Laksa beras pula lebih baik dibeli yang siap sahaja atau beli yang kering dan direndam terlebih dahulu. Boleh klik di SINI untuk entri kuah laksam yang saya sediakan dulu.

Teringat zaman dulu dulu, ada ketika kenduri tidak dihidangkan nasi dengan lauk, sebaliknya hanya dihidangkan dengan laksa. Tapi makan laksa ni, walaupun sedap memang tidak sama dengan kenyang makan nasi. Kebelakangan ini, sudah jarang laksa dihidangkan di majlis kenduri. Lagi pulak, orang Kelantan memang makanan utama adalah nasi, dari sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam. 

Sebelum menengok resepi, saya ingin kongsikan petikan dari buku Ensiklopedia Kiamat yang sangat mendalam maknanya untuk dijadikan santapan minda, iaitu "Cukuplah Allah yang mencinta, Al Quran yang menghibur dan kematian yang memberi nasihat. Cukuplah rasa takut pada Allah menjadi ilmu dan kelengahan tentang Allah menjadi kebodohan"....

Jom layan resepi penyediaan kuah laksa Kelantan....


Laksa Kelantan
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
Laksa beras
Laksam
Kuah laksa - seperti di bawah
Ulaman
Sambal cili kering

Bahan Kuah:
2 kg ikan sardin - ambik isi dan kisar
1 kg santan
1 mangkuk bawang merah
2 ulas bawang putih - opsyenal
1 inci halia
2 sudu besar lada hitam - tumbuk
Garam
Secubit gula
3 keping asam keping
Air secukupnya

Cara cara:
Satukan semua bahan di atas dan masak dengan api perlahan sambil terus dikacau.

Masak sehingga mendidih dan sesuaikan rasa. Boleh lah diangkat dan dihidangkan.

Bahan Ulaman:
Kacang panjang
Daun kesum
Bunga kantan
Taugeh

Sambal Cili
Cili kering - rebus dan tos
Garam

Tumbuk sehingga lumat.

Cara menghidang:
Masukkan laksa ke dalam pinggan atau mangkuk.
Tuangkan kuah secukupnya.
Letakkan ulam ulaman dan sedikit sambal cili kering.


No comments

Powered by Blogger.