Menyambut Hari Raya Aidil Adha Di Villa Nur Qaseh






Seingat saya memang jarang saya menyambut Hari Raya Haji di Kuala Lumpur. Sejak dulu dulu lagi, saya pasti akan balik ke Kelantan kerana telah menjadi kemestian untuk kami melakukan ibadah Qorban di rumah kakak sulong saya kecuali ada 1 tahun di mana kami melakukan ibadah Qorban di Penjara Kajang. Setiap tahun seekor lembu akan dikongsikan antara kami adik beradik, anak anak saudara dan juga arwah Bonda. Arwah Bonda boleh dikatakan melakukan ibadah Qorban setiap tahun. Hari Raya Qorban tahun lepas adalah tahun terakhir Bonda melakukan ibadah Qorban tapi sayang saya tidak dapat meluangkan masa yang lama bersama Bonda pada hari itu kerana terpaksa segera kembali ke KL atas urusan tugas. Boleh klik di SINI. Bercakap pasal ibadah qorban, Ustaz Ibrahim kongsikan bahawa baginda Rasulullah yang mengerjakan ibadah Qorban dan diniatkan pahala sedekah untuk semua ahli keluarga. Jadi sebaiknya ketua keluarga yang melakukan ibadah qorban, jika kita tidak mampu untuk melakukannya bagi semua ahli keluarga kerana dengan sendiri mereka juga akan mendapat pahala.

Tahun ini, saya akur untuk tidak balik ke kampung dan akan menyambut hari raya Aidil Adha di Villa Nur Qaseh bersama anak anak kecuali Nana yang bertugas pada hari raya. Banyak sebab sebab yang menyebabkan saya mengambil keputusan ini. Walaupun sedih teramat sedih, namun saya redha dengan apa sahaja ketentuanNya. Saya harus bersyukur dengan segala kurniaan Allah kepada saya selama hidup ini yang melebihi dari apa yang sebenarnya saya layak. Nikmat apa lagi yang saya mahu dustakan. Tidak terhitung banyak kurniaan dan anugerah Allah pada diri saya yang kerdil dan hina dina ini. 





Sebagai hidangan pagi hari Raya, saya telah menyediakan Kuah Kacang dengan Ayam menggunakan resepi di SINI yang sangat istimewa. Selain itu, saya juga menyediakan Puding untuk dibawa ke surau bagi jamuan jemaah surau sebelum melakukan ibadah Qorban. Hubby pula membeli beberapa batang lemang. Saya juga mengukus ketupat palas yang diberi oleh Dato Seri Mohamad Isa yang ditempah khas dari kampung beliau...







Pagi pagi lagi kami ke surau Ad Dhuha untuk melakukan solat sunat Hari Raya Aidil Adha. Selepas solat, kami ke Rawang menziarahi pusara Bonda Mertua. 





Saya sekali lagi menyertai jemaah Surau Ad Dhuha menjamu selera dengan lauk pauk yang dimasak untuk hidangan makan tengahari selepas solat Zohor. Alhamdulillah rezeki kerana Boy juga dapat kupon untuk mendapat daging Qorban.






Sementara lauk gulai kawah masak, kami bersembang dengan jiran jiran dan yang selalu jadi mangsa usikan ialah Dato' Seri Ahmad Said kerana ramai yang bersedia mencarikan calon untuk beliau...






Akhir sekali, Selamat Hari Raya Aidil Adha buat semua kawan kawan dan pembaca blog Azie Kitchen. Semoga amalan dan pengorbanan kita selama ini diterima Allah.  



No comments

Powered by Blogger.