Pegedil Sedap : Pegedil Daging Berkeju
Selamat menyambut Hari Raya Korban buat semua. Semoga hari ini memberikan seribu hikmah dan pengertian yang mendalam buat umat Islam seluruh dunia kerana kehadiran Aidil Adha memang menuntut kita merenung kembali segala 'pengorbanan' para anbia' dalam menegakkan agama Allah yang suci. Dan mudah-mudahan semua jemaah haji di Tanah Suci Makkah akan pulang bersama haji yang mabrur... amin!
Tentu pagi ini ramai yang sibuk menyediakan juadah untuk keluarga dan juga tetamu. Amie pulak.... sunyi sepi je dapur tak berasap! Bukan apa... ikut arahan Encik Suami supaya berehat saja, jangan buat apa-apa sebab memang Amie kurang sihat. Tiga hari lepas panas badan Amie tinggi melebihi 39'C. Disyaki kena virus denggi, tapi setelah pemeriksaan darah dijalankan, negatif denggi! Rupanya kurang air dalam badan... syukur Alhamdulillah tak ditahan di wad!
Amie pun korbankan hasrat untuk masak-masak di pagi raya. Tak apalah... nanti kalau melarat sakit, siapa juga yang susah. Wokey... Amie nak kongsi satu menu ala fusion pulak. Amie buat pegedil kentang campur daging, dan bubuh keju. Cerita tentang pegedil ini, teringat masa rewang di kampung, bergotong royong menyiat daging rebus untuk dibuat campuran bahan pegedil. Tapi nak rebus daging malaslah pulak. Guna sajalah daging kisar bang Ramly tu... senangkan! Kentangnya pula, seperti biasa Amie goreng terlebih dahulu, tatapi kalau anda ingin rebus terpulanglah. Bukan apa, Amie tak mahu risiko ketika menggoreng nanti. Untung badan, pegedil tak terburai ketika digoreng! Maklumlah kalau terlebih rebus (masak) kentang akan masuk air! Jadi, jalan selamat yang Amie pilih, goreng sajalah.
Bahan-bahan:
2 cawan kentang siap dilenyek (4 biji kentang yang digoreng)
1/2 cawan daging kisar
1/2 cawan bawang goreng (merah & putih)
1/2 cawan hirisan daun sup
1/2 cawan parutan keju cheddar
2 sudu makan serbuk keju parmesan
1 sudu teh lada putih - tumbuk
1 biji telur - pukul ringan
garam / perasa pilihan
minyak
Cara:
1. Gaul sebati kentang lenyek bersama daging kisar, bawang goreng, daun sup, keju cheddar, keju parmesan, lada putih dan perasa pilihan hingga sebati.
2. Kepal bahan tadi sebesar bola ping pong dan bulat-bulatkan, kemudian leperkan menjadi pegedil yang mampat.
3. Panaskan minyak untuk menggoreng tenggelam.
4. Celupkan pegedil di dalam telur dan goreng hingga kuning keemasan.
5. Angkat dan toskan.
Jom.... makan Pegedil Daging Berkeju!
Memang sedap dimakan begitu saja. Jangan lupa.... balut dengan daun salad, dan kemudian makan macam makan burger.... he heheh jadi burgerdil!
Post a Comment