Resepi Sihat dan Berkhasiat : Ikan Jelawat Masak Singgang dengan Air Kelapa!

Bukan selalu kami dapat bekalan ikan jelawat. Nak kata setahun sekalipun susah. Dua atau tiga tahun sekali, itu pun kira nasib! Ikan jelawat di tempat kami datangnya dari Sarawak! Jadi, untuk mengekalkan khasiat ikan air tawar ini Amie seboleh-bolehnya ingin mengolah menggunakan resepi yang mudah dan ringkas supaya dapat menikmati isi ikan ini sepuas-puasnya! Pada fikiran Amie, masakan singgang atau pindang mampu mengekalkan keaslian rasa ikan ini.

Kadang-kadang Amie agak keliru antara 'singgang' dengan 'pindang'. Masa kecil-kecil dulu kalau Ayahanda bawa pulang ikan dari pasar, Bonda selalu masak pindang! Seingat Amie Bonda akan bubuh sedikit saja air bersama garam dan kunyit serta asam! Kemudian Bonda tutup periuk dan masak dengan api perlahan. Kata Bonda, biar ikan jadi 'gempi'. Amie pun tak tahu nak terjemahkan apa maksud gempi... cuma yang Amie boleh katakan di sini, segala bahan akan meresap dalam ikan, dan ia juga bermaksud 'tidak berair atau kurang berair'.

Akhirnya Amie dapat juga maksud istilah pindang dari Kamus Dewan Edisi Empat: Pindang (bahasa Melayu) bermaksud sejenis masakan berkuah daripada ikan dan lain-lain yang dimasak dengan asam (kunyit dan lain-lain). Selain di negara kita, istilah pindang juga digunakan di Indonesia dan juga Brunei. Dalam istilah yang lebih umum (Bahasa Malaysia) masakan pindang membawa maksud ikan yang dimasak dengan asam, kunyit dan lain-lain, berkuah dan tanpa santan. Manakala dalam bahasa sukuan pula (Melanau, Mukah) pindang ialah masakan ikan atau daging dengan sedikit air atau tanpa air, dijerang atas api yang perlahan.

Jadinya, apa pula makna 'singgang'? Rupanya maksud singgang begitu mudah... semudah mengolah masakannya! Singgang membawa maksud : Masakan (ikan dan lain-lain) yang direbus dan digarami!

Tanpa bimbang dan ragu @ sangsi, Amie pun namakan resepi kali ini sebagai Ikan Jelawat Masak Singgang..... dengan Air Kelapa! Bukankah maksud 'singgang' ialah .... yang direbus dan digarami? Cuma, bezanya singgang Amie dengan singgang yang lain ialah penggunaan air kelapa. Amie teringat lebih 10 tahun yang lalu, ketika terlantar sakit (cacar). Banyak pantang dari segi makan minum yang perlu dipatuhi supaya segera sembuh. Encik Suami sediakan beberapa tanda kelapa muda. Hari-hari Amie kena minum air kelapa. Hari-hari juga kena makan ikan air tawar masak rebus! Maklumlah, ikan air tawar terutamanya ikan haruan dipercayai mempunyai khasiat untuk menyembuhkan luka. Suatu hari, dek kerana dah bosan minum air kelapa dan makan ikan air tawar rebus, Amie masak sendiri ikan lampam jawa dengan air kelapa dan masukkan sekali sayur baby kailan di dalamnya. Eh... macam terasa lebih sedap pulak! Terasa manis-manis air kelapa sebagai kuah ikan tadi. 

Amie sayangkan khasiat yang terdapat pada ikan air tawar yang dikatakan kaya dengan protein, vitamin, lemak dan mineral. Untuk mengekalkan khasiatnya, Amie olah ikan jelawat ini dengan cara mudah, dan tidak dimasak terlalu lama. Amie gunakan air kelapa daripada dua biji buah kelapa (lebih kurang 1 liter), dan Amie tambahkan sayur-sayuran di dalam masakan ini.

Bahan-bahan:
1 ekor ikan jelawat seberat 1 kg - bersihkan dan potong ikut suka
1 liter air kelapa muda
1 batang lobak merah - potong ikut suka
10 kuntum baby kailan - potong tengah menjadi dua
1 biji tomato - belah 4
1 labu bawang besar - mayang kasar
2 ulas bawang putih - diketuk
1 batang serai - diketuk
1 sudu teh lada putih - tumbuk
1 keping asam gelugur
7 biji cili padi
garam / perasa pilihan

Cara:
1. Masukkan air kelapa ke dalam periuk dan masak / didihkan di atas api dapur.
2. Masukkan bawang besar, bawang putih, serai, asam keping, lobak merah dan cili padi.
3. Setelah air rebusan mendidih, masukkan ikan jelawat. Masak di antara 5-7 minit.
4. Masukkan sayur baby kailan dan tomato dan lada putih. 
5. Setelah sayur baby kailan layu, perasakan dengan garam / perasa pilihan.
6. Padamkan api dapur.

Nampak tak isi ikan jelawat yang cantik mulus tu? Kuahnya kelihatan berminyak... dan lemak ikan air tawar ini katanya elok untuk kecantikan kulit kita!
Wokeeeyyy... hari ini Amie dapat belajar sesuatu.... masakan singgang ialah masakan yang direbus dan digarami, manakala masakan pindang pula asasnya ialah masakan yang menggunakan asam dan kunyit! Jadi... kalau kuahnya yang putih aje tu masakan singganglah ye hehehe

No comments

Powered by Blogger.