Resepi Sedap : Mempedal Ayam Masak Bumbu Sate!

Amie selalu tengok Encik Suami dan kakak ipar serta adik-adiknya 'berebut' kalau terjumpa mempedal dalam apa-apa, terutamanya kalau ada lauk sambal kates (betik) semasa kenduri di kampung. Mulanya Amie hairan juga, kenapa suka sangat mempedal yang keras dan liat tu... (pada sangkaan Amie) saja. Kalau bakar sate atau sayap ayam di kampung, pasti ada mempedal juga! Jadi, Amie pun buat kesimpulan Encik Suami suka makan mempedal, tapi tidaklah selalu sebab Amie jarang masak kecuali kalau beli ayam bulat, dan ada mempedal di dalamnya. Itu pun Amie masak sekali dengan ayam tersebut.
Wokey... ini kali pertama Amie masak mempedal ayam untuk Encik Suami, setelah cuba buat sate mempedal sempena hari ulang tahun Fairuz tempohari. Amie cuba masak dengan menggunakan perencah sate. Harum semerbak satu dapur dengan aromanya!

Ambil gambar pun kelam kabut sebab semua dah menunggu di meja nak makan menu baru kami ini. Jadi, ini sajalah gambar Mempedal Ayam Masak Bumbu Sate yang sempat Amie rakam. Encik Suami pulak senyum-senyum sewaktu makan. Bila Amie tanya kenapa, jawabnya: Sedap... masakan ni sedap! Alhamdulillah....

Bahan-bahan:
500 gram mempedal ayam - bersihkan dan potong kecil-kecil (seketul mempedal dipotong 4)
200ml santan pekat
1 sudu teh serbuk kunyit
1/2 sudu teh pati asam jawa
1/2 cawan minyak
garam / gula /perasa pilihan

Bahan kisar:
1 labu bawang besar
2 ulas bawang putih
1 sudu makan ketumbar biji
1 sudu teh jintan manis
1 sudu teh jintan putih
1 batang serai - ambil isinya yang lembut dan hiris
3 keping hirisan lengkuas
3 cm halia

Cara:
1. Gaul mempedal dengan semua bahan kisar serta garam / gula dan pati asam jawa serta minyak. Amie bubuh 1 sudu teh garam dan 1 sudu makan gula. Terpulanglah ikut citarasa masing-masing.
2. Setelah diperap selama 30 minit, masukkan bahan perapan tadi ke dalam kuali dan masak dengan api sederhana panas sehinggalah pecah minyak.
3. Masukkan santan pekat, dan masak lagi sehingga kuah pekat. Kacau selalu supaya tidak hangus.


Ratah begitu saja laaagi sedap!

Laksa Kelantan Untuk Sarapan Pagi




Laksa ini dimasak oleh kakak saya untuk sarapan pagi sewaktu saya balik kampung semasa Bonda saya kembali ke rahmatullah. Kuah laksam dan kuah laksa adalah sama, jadi boleh sediakan kedua duanya sekali sebagai mempelbagaikan hidangan. Untuk melihat cara penyediaan laksam, boleh klik di SINI. Laksa beras pula lebih baik dibeli yang siap sahaja atau beli yang kering dan direndam terlebih dahulu. Boleh klik di SINI untuk entri kuah laksam yang saya sediakan dulu.

Teringat zaman dulu dulu, ada ketika kenduri tidak dihidangkan nasi dengan lauk, sebaliknya hanya dihidangkan dengan laksa. Tapi makan laksa ni, walaupun sedap memang tidak sama dengan kenyang makan nasi. Kebelakangan ini, sudah jarang laksa dihidangkan di majlis kenduri. Lagi pulak, orang Kelantan memang makanan utama adalah nasi, dari sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam. 

Sebelum menengok resepi, saya ingin kongsikan petikan dari buku Ensiklopedia Kiamat yang sangat mendalam maknanya untuk dijadikan santapan minda, iaitu "Cukuplah Allah yang mencinta, Al Quran yang menghibur dan kematian yang memberi nasihat. Cukuplah rasa takut pada Allah menjadi ilmu dan kelengahan tentang Allah menjadi kebodohan"....

Jom layan resepi penyediaan kuah laksa Kelantan....


Laksa Kelantan
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
Laksa beras
Laksam
Kuah laksa - seperti di bawah
Ulaman
Sambal cili kering

Bahan Kuah:
2 kg ikan sardin - ambik isi dan kisar
1 kg santan
1 mangkuk bawang merah
2 ulas bawang putih - opsyenal
1 inci halia
2 sudu besar lada hitam - tumbuk
Garam
Secubit gula
3 keping asam keping
Air secukupnya

Cara cara:
Satukan semua bahan di atas dan masak dengan api perlahan sambil terus dikacau.

Masak sehingga mendidih dan sesuaikan rasa. Boleh lah diangkat dan dihidangkan.

Bahan Ulaman:
Kacang panjang
Daun kesum
Bunga kantan
Taugeh

Sambal Cili
Cili kering - rebus dan tos
Garam

Tumbuk sehingga lumat.

Cara menghidang:
Masukkan laksa ke dalam pinggan atau mangkuk.
Tuangkan kuah secukupnya.
Letakkan ulam ulaman dan sedikit sambal cili kering.


Resepi Penduci Mulut Yang Sedap: Puding Pandan Strawberi

Lama tak memuding. Sesekali nak juga menikmati hidangan manis sebagai pencuci mulut di hujung minggu.Tapi manis-manis manja sajalah yea.... dan tambah sikit manis-manis masam di bahagian atasnya. Amie buat Puding Pandan Strawberi. Tak adalah nak rajin membuat jus pandan, cuma guna emulco pandan dengan perasa pandan saja. Buah strawberi saja yang Amie kisar, tapi nak warna lebih cantik menyerlah Amie tambahkan sedikit strawberi emulco.

Puding Pandang Strawberi ini Amie buat petang kelmarin. Ada beberapa keping lebihan roti Gardenia untuk sarapan paginya, jadi sebelum sampai tarikh luput eloklah Amie manfaatkan untuk dijadikan puding. Rupanya Encik Suami suka sangat makan terutama yang bahagian merahnya tu... termasuklah Firdaus sekali!

Bahan-bahan:
1 paket agar-agar seberat 20 gram
4 keping roti Gardenia
20 biji strawberi - kisar tanpa air
5 cawan air
250 ml susu cair
1 1/2 cawan susu pekat - terpulang ikut kemanisan yang dikehendaki, boleh kurangkan atau lebihkan
1 biji telur
1 sudu teh esen vanilla
sedikit pandan emulco
sedikit strawberi emulco
1 sudu teh perasa pandan

Cara:
1. Masak agar-agar bersama air sehingga agar-agar larut.
2. Satukan roti gardenia bersama susu cair, susu pekat, telur, esen vanilla dan kisar hingga halus.
3. Masukkan bahan kisar ke dalam periuk berisi agar-agar yang dimasak tadi dan didihkan sehingga mendidih.
4. Ambil 2/3 daripada bahan tadi dan masukkan dalam sebuah bekas. Tambahkan emulco pandan dan perasa pandan. Tapis dan kemudian masukkan dalam acuan pilihan dan sejukkan.
5. Selebihnya, 1/3 bahan tadi campurkan dengan strawberi kisar dan emulco strawberi. Tapis dan kemudian sudukan perlahan-lahan di atas puding perasa pandan.
5. Sejukkan sebelum dinikmati.


Jom... siapa cepat dia dapat! Yang dibelakang tu tengok bekas kosong aje erkkk...

Roti sarang Lebah

Doh Roti
500 gm tepung gandum
4 sudu besar gula kastor
2 sudu besar tepung susu
2 sudu besar water roux
2 sudu besar shortening
1 sudu kecil esen vanila
11/2 sudu kecil bread improver
1/4 sudu teh garam

1 biji telur(pukul dengan garfu)
2 sudu besar susu pekat
Campur dengan air suam agar menjadi 250ml
Sepeket yis (11 gm)
Biarkan sedikit berbuih

Cara membuat water roux
25gm tepung gandum
125ml air
Masak dengan api perlahan sehingga pekat dan sejukkan.

Telur(pukul dahulu dengan garfu untuk sapuan)

Bahan tabur

Badam nipis
Biji bunga matahari
Bijan hitam dan putih

Bagi yang ada BM, uli mengikut aturannya.
Cara menguli tangan:
Masukkan tepung,shortening, susu tepung, garam, gula, baking powder dan bread improver.
Lubangkan ditengahnya dan tuang cecair yis tadi.
Uli biar sebati(doh yang kasar)
Adunkan supaya menjadi doh yang kasar.
Masukkan dlm plastik dan lenyekkan selama 5 minit.
Keluarkan dan uli semula supaya menjadi doh yang bulat.
Masukkan dlm bekas mangkuk besi dan tutup dengan plastik pembungkus makanan.
Biarkan selama 1/2 jam atau naik sekali ganda.
Tumbuk adunan yang mengembang tadi. .
Buat bulatan kecil dan susun dalam loyang yang telah di atas dengan kertas kek.
Biarkan mengembang sekali ganda.
Sapu dengan telur kuning dan tabur hirisan badam dan biji labu, bijan putih dan hitam.
Bakar selama 25 - 30 minit dengan suhu 170C.
Bila masak keluarkan dan tuang sos ke atasnya.

Sos atas roti..Butterscotch
1/2 cawan gula perang
1/2 cawan susu cair
2 sudu besar mentega
Secubit garam
1 sudu kecil esen vanila

Panaskan mentega.  Biar cair.
Masukkan gula perang.  Kacau biar cair dan berbuih tepinya..
Masukkan susu cair dan esen vanila serta garam.
Kacau hingga pekat.  Angkat dan sejukkan.

Ikan Aji Aji Masak Tauchu





Orang bertaqwa bukan sahaja dijanjikan jalan keluar dan kemudahan dari segala masalah tapi juga didatangkan rezeki yang tak disangka sangka. Rezeki adalah suatu kurniaan Allah. Kita disuruh berusaha sebagai musabab. Tapi rezeki bukan datang berdasarkan kekuatan, bukan kecerdikan dan juga bukan kerana apa apa. Jadi sesiapa hendak selesai masalah, kenalah bersama Allah. 

Apabila disebut bersama Allah bukanlah seumpama kita bersama dengan kawan kawan kerana Allah tidak bersifat menyamai dengan sesuatu. Perasaan mengharap mesti dihimpun dalam hati dan sentiasa patuh pada semua perintah dan larangan. Jika kita dapat buat seperti itu, maknanya kita telah dapat bersama Allah. Jika dapat buat begitu, banyak kelebihan yang kita perolehi. Antaranya ketenangan dan kebahagiaan dalam hidup serta kemudahan dari sebarang masalah. Jadi orang yang sebenar bahagia ialah orang yang bertaqwa. Itulah antara petikan program Tasawuf Harian bersama Dr Zulkifli di TV Al Hijrah pada pagi hari minggu lalu. 

Beralih pada bab masakan, hari ini nak tayangkan entri lama yang dah terperam. Ikan Aji Aji adalah salah satu dari ikan kesukaan saya. Masak apa pun sedap dengan ikan ni. Masak percik, masak kari, masak kicap atau masak apa apa jer. Bila tak ada idea apa masakan nak dimasak, saya akan masak tauchu. Kiranya masakan dalam keadaan tak dirancang lah ni. Saya pun baru baru ni jer belajar masak tauchu ni. Sebelum ni memang tak pernah memasak sebab tak suka makan tauchu. 

Jom layan resepi dulu....



Ikan Aji Aji Masak Tauchu

Bahan bahan:
1 ekor ikan Aji Aji - lumur garam kunyit dan goreng
4 ulas bawang putih
5 ulas bawang merah
1 biji bawang besar - hiris bulat
1 inci halia
1 batang serai - ketuk
2 sudu besar tauchu
1 batang cili merah
1 batang cili hijau/cili padi
Sedikit asam jawa
Sedikit gula

Cara cara:
Tumis bawang putih, halia dan bawang merah yang di hiris serta serai sehingga wangi. Masukkan tauchu dan sedikit air. 

Masukkan pula bawang besar yang dimayang, cili merah dan cili hijau hiris, gula dan sedikit air asam jawa. Sesuaikan rasa dan bolehlah dimasukkan ikan yang telah digoreng. 


Masakan Kampung: Sayur Lodeh Cocos, Ayam Goreng Kampung & Sambal Belacan

Selamat berhujung minggu buat semua. Terima kasih kerana masih sudi bertandang ke dapur maya Amie. Rasa seronok di pagi Ahad ini sebab dapat berlama-lama sedikit di dapur. Encik Suami pulak sibuk dengan hobinya mencabut rumput dan mengubahsuai kedudukan pokok bunganya. Fuad sudah merdeka sebab telah habis peperiksaan akhir tahunnya. Fairuz pulak ikut sepupunya ke Tawau dan akan pulang pada petang ini. Firdaus? Si kecil ini asyik keluar masuk ke dapur membantu mana yang patut... membongkar isi kabinet, keluarkan segala tupperware, mengusung cerek kosong dan bila kehausan pandai pulak mengambil botol susunya minta buatkan untuknya! Farid.... abang Farid yang kami rindu, moga gembira di kampus. Kalau Farid ada bersama kami, memang dia rajin tolong kemas dapur dan menyapu rumah. 
Wokeylaa... hari ini nak cerita tentang masakan kampung. Dah lama benar tak masak Sayur Lodeh Cocos, masakan tradisi sebelah keluarga Encik Suami. Selalunya MIL akan masak sayur ini ketika kami beramai-ramai datang ke kampung. Dari situlah Amie dapat mempelajari masakan tersebut. Walaupun dinamakan Sayur Lodeh sebenarnya masakan ini berbeza dengan masak lodeh atau sayur masak lodeh yang kita biasa masak. Kita lihat seterusnya di bawah ini. Panjang kisahnya hari ini tau....

Inilah hidangan makan tengahari kami di hari minggu. Lauk pauk kampung yang sudah semestinya sedap! Sedap pada kamilah... ahaks! Ada Ayam Goreng Kampung.... ni yang 'tetamu' dapur maya Amie selalu salah faham... setiap kali Amie paparkan entri Ayam Goreng Kampung, dikomennya ayam kampung goreng! Ayam daging tu... ayam dari pasar, ayam ternak, bukannya a kampung! Cuma resepinya nama Ayam Goreng Kampung.... goreng @ masak cara kampung ya...  Lepas tu, yang depan sekali tu... Sayur Lodeh Cocos... sebenarnya nama resepi asalnya Sayur Lodeh, tapi saja aje Amie bubuh Cocos di hujungnya sebab masakan ini berbeza dengan sayur lodeh yang selalu kita buat tu. Nanti kita cerita panjang di bawah ye. Dan tak ketinggalan, Amie buat Sambal Belacan. Alahai... kalau MIL masih ada mesti tak mahu jamah sambal ni, sebab Amie buat pakai blender! Malehnya.....

Ini bahan-bahan sayuran yang akan digunakan untuk resepi Sayur Lodeh. Biasanya MIL gunakan pucuk ubi, jantung pisang, bunga betik dan juga pucuk betik. Tapi kali ini Amie tak ada pucuk betik. Mula-mula dulu, sewaktu tengok MIL masak campur sayur-sayur begini, Amie sudah jangkakan betapa pahitnya.... pahitnya pucuk betik! Rupanya... salah dugaanku! Salah sama sekali!
Wokey... kesemua bahan di atas tadi hendaklah dicelur terlebih dahulu. Bunga betik tu leraikan dari tangkainya, manakala daun ubi tadi ambillah pucuk daunnya yang lembut saja. Jantung pisang pula, buangkan kelopak-kelopaknya yang berwarna merah.
Sementara menunggu bahan tadi dicelur, Amie sediakan bahan untuk Ayam Goreng Kampung pula.

Amie gunakan seekor ayam saiz sederhana. Potong-potong, cuci dan toskan airnya. Kemudian Amie perapkan daging ayam tadi dengan bahan tumbuk termasuk bawang putih, bawang merah, ketumbar, jintan putih, jintan manis, halia, lengkuas dan juga serbuk kunyit. Rempah-rempah seperti ketumbar dan jintan tadi Amie tumbuk kasar-kasar aje, sebab Amie suka cara perapan begini.... yang Amie perhatikan di kampung dari kecil dulu! Selain menambah garam / perasa pilihan, Amie masukkan serai yang sudah diketuk dan kemudian Amie perap selama 30 minit.
Ha haaa... rupanya kehabisan stok serai... jadi minta Encik Suami ambilkan sebatang serai dari rumpunnya di belakang dapur! Terdengar Encik Suami membebel : Baru tanam serai... sudah diminta cabut! Macamanalah serai nak tumbuh!
He hehehe.... pucuk ubi yang dicelur sudah lembut. Amie bilas dan perah airnya, dan kemudian hiris-hiris macam di bawah ini.

 Bunga betik yang dicelur pun sudah lembut. Di bawah inilah hasilnya....

Sepatutnya kesemua bunga betik yang segar berwarna kuning kehijauan, tapi yang di atas tu ada warna lain sikit... sebab bunganya dah kembang! Maklumlah beli benda ni hari Jumaat, tapi masaknya hari Ahad!

Ini pulak jantung pisang. Dah lembut dicelur, kita hiris-hirislah pulak macam ni. Pada masa yang sama, ayam yang diperap pun sudah sampai masanya untuk digoreng. Jadi sambil menguruskan bahan Sayur Lodeh, sekali harung goreng ayam.

Harumnya aroma rempah! Teringat semasa di kampung, terutama musim raya atau pun kenduri kendara!

Tiba-tiba teringat nak buat Sambal Belacan! Terus je capai kuali kecil, goreng bawang putih, bawang merah dan juga cili padi. Oleh kerana belacan yang digunakan warna merah, hasilnya pun nampak merah. Tapi cair sikit sebab Amie bubuh lebih jus limau kasturi! Mmm... kecurnya!

Berbalik kepada cerita Sayur Lodeh tadi, sediakan santan untuk kuahnya. Amie sediakan semangkuk santan sederhana pekat, dari sebiji kelapa. Lebih kurang dalam 700ml. Jangan lupa bahan perencah Sayur Lodeh!

Bahan perencah Sayur Lodeh hendaklah dikisar. Antaranya termasuklah lebih kurang 20 biji cili kering, 3 ulas bawang putih dan 5 biji bawang merah. Satu lagi bahan wajib untuk perencah ini ialah ketumbar biji! Amie selalu lihat MIL masukkan banyak ketumbar biji... pakai tangannya saja, tak payah sukat! Jadi Amie pun ikut sajalah... anggaran 1 genggam 1/2! Tapi genggaman tangan bukannya sama... bolehlah anggarkan dalam 4 sudu makan!

 Ayam Goreng Kampung dah siap digoreng!

Kita teruskan masak Sayur Lodeh pulak. Mula-mula panaskan sedikit minyak dan tumis bahan perencah sehingga pecah minyak.

 Kemudian masukkan hirisan pucuk ubi.

 Diikuti dengan bunga betik.

 Dan seterusnya masukkan jantung pisang.

 Dah sudah semua masuk, gaul sebati.

 Tuangkan santan.

 Sukatan santan hendaklah melebihi paras sayur. Sebenarnya pada ketika ini MIL masukkan ikan goreng, tapi Amie tak masukkan sebab tak ada ikan goreng!

 Sayur Lodeh sudah sedia dihidangkan.

 Entah berapa gelas air Amie minum. Berpeluh-peluh bersilat di dapur!

 Nasi dan lauk pauk kampung yang ringkas sudah tersedia. Jom... jemput makan!

Sekian....
Berakhirlah sudah cerita tentang masakan kampung yang pada mulanya cuma nak cerita tentang Sayur Lodeh, resepi tradisi masyarakat Melalyu Cocos, tapi meleret cerita tentang ayam goreng dan sambal belacan pulak! Ada pun Ayam Goreng Kampung nan seekor itu habislah sudah kami bertiga makan... dan sebenarnya Fuad yang meratah habis! Padahal beberapa keping ayam goreng tadi ditinggalkan untuk Fairuz yang baru balik dari Tawau, tapi akhirnya Fuad juga yang menghabiskan... tak tinggal satu pun! Fuad..... oh Fuad!

Perut Lembu Dengan Air Asam




Alhamdulillah, walaupun tak balik masih ada rezeki untuk menikmati masakan yang dimasak rumah kakak saya masa Hari Raya Aidil Adha baru baru ini. Seperti biasa kakak saya akan menyimpan lauk yang telah dimasak di dalam freezer dan dikirimkan melalui anak saudara yang balik ke KL. Sedang elok bila sampai di sini, cuma perlu dipanaskan. Antara yang dikirimkan ialah perut yang memang antara lauk yang mesti disediakan setiap kali selepas qorban. Boleh klik di SINI jika mahu tengok gambar perut muda. Haaa tak bolehlah makan banyak banyak kerana ianya sangat berlemak dan kaya dengan kolesterol. Anak anak muda zaman sekarang yang health conscious dah tak lagi makan perut muda ni. Tapi bagi generasi lama, bolehlah makan setahun sekali sekadar melepaskan keinginan pada masakan yang dimakan sejak dulu.




Entah kenapa tiba tiba teringatkan arwah abang sulong saya, Cik gu Hashim yang telah kembali ke rahmatullah pada penghujung tahun 2000 kerana mengalami masalah kegagalan buah pinggang pada usia 48 tahun. Masih ingat abang Hashim membelikan saya sepasang baju dan seluar dari Singapore untuk dipakai masa raya. Ketika itu, arwah masih menuntut di Maktab Perguruan Temenggung Ibrahim. Saya pernah ke Sekolah Menengah Tendong di Pasir Mas bersama arwah bapa untuk mengambil duit gaji abang Hashim yang ketika itu telah ke maktab. Arwah sangat gemar makan makan dan akan membawa balik makanan yang sedap sedap untuk kami di rumah. Kalau ada majlis kenduri di rumah, kami akan sama sama meratah gulai bahagian kepala kambing atau kepala lembu. Makanan seperti perut lembu juga antara makanan kesukaan abang. Walaupun telah lama meninggalkan kami, saya tidak pernah lupa untuk berdoakan arwah abang di dalam doa saya. Kenangan bersama abang Hashim tidak pernah luput di ingatan. Saya memang sangat menyayangi arwah dan adik beradik yang lain juga.

Perut yang telah diproses dan dicuci, hanya perlu direbus sehingga lembut dan dimakan dengan Air Asam sebagai pencicah. Ianya sangat unik pada orang Kelantan. Sangat sedap dan air asamnya mestilah rasa pedas dan sedikit masin, barulah ngam. 

Saya kongsikan di bawah ini, cara kakak saya menyediakan air asam untuk dimakan dengan perut, lagi sedap jika perut muda. Layaann...




Perut Dengan Air Asam

Bahan bahan:
Perut muda - rebus dan potong
8 biji cili padi kampung
Sebesar ibu jari belacan
Garam secukup rasa
Limau nipis - perah air
Air rebusan perut

Cara cara:
Tumbukkan semua bahan kecuali air limau nipis sehingga hancur. Jangan terlalu hancur. Masukkan air rebusan secukupnya. Setelah itu, baru diperahkan air limau secukup rasa.




Akhir sekali, masukkan perut muda yang telah dipotong kecil ke dalam air asam. Kacau rata dan sedia untuk dihidangkan.






nasi Goreng Pattaya

Bahannya
4 mangkuk nasi dingin
5 ulas bawang putih
3 biji cili api
2 sudu besar sayur campur
1/2 batang carrot (potong panjang kecil)
3 sudu besar sos tiram
2 sudu besar sos tomato
2 sudu besar sos cili
Daun sup
lada sulah
2 sudu besar bawang goreng
5 biji telur(bersihkan dahulu kulitnya dengan air)
Beberapa ekor udang yang telah dibuang kulitnya
Isi ayam(potong kecil)
Gula dan garam
Lada hitam

Ketuk bawang putih dan cili api dipotong kecil
Panaskan minyak dan tumislah bahan di atas tadi.
Apabila bawang sudah kekuningan, angkat/ketepikan sedikit bahan goreng tadi dan masukkan sebiji telur dan kacau.
Apabila telur agak masak, gaulkan kesemua bahan dan kuali tadi, biar bercampur dan kemudian masukkan udang dan ayam serta lada sulah.  Kacau seketika.
Masukkan sos tiram, sos cili sos tomato, gula dan garam.
Masukkan nasi dan gaul biar sebati.
Masukkan bawang goreng dan daun sup.
Rasalah kesedapan ikut cita rasa masing-masing dan tambah apa yang perlu(kalau dah masuk nasi gula tidak lagi boleh dimasukkan cuma masukkan ajinomoto atau lada sulah)
Angkat dan ketepikan.
Untuk membungkus nasi dengan telur
Pecahkan sebiji telur dan kacau dengan garfu.
Masukkan dalam kuali dan gelek-gelekkan kuali biar nipis telur tersebut dan masuklah nasi goreng dan letak ditengah-tengahnya..  Bila nampak masak lipatlah lebihan telur tersebut (biar kemas dan rapi)
ambil pinggan dan terbalikkan kuali ke dalam pinggan kita.(yang bawah telur dah jadi kat atas dalam pinggan kita)

Meratah Sayur!

Kelmarin tumpang kereta kawan sewaktu pulang dari kerja. Singgah tempat orang jual sayur di tepi jalan. Memborong pucuk ubi, bunga betik, jantung pisang, kacang panjang dan juga terung bulat hijau. Pagi tadi si kawan Amie tumpang kereta telefon beritahu Amie tertinggal terung bulat hijau dalam bonet keretanya. Ah... ko simpanlah dulu, nanti Isnin bawa ke sekolah. Nak suruh dia masak memang haram dia tak mahu sebab suaminya tak ada di rumah, dan kalau masak apa-apa pun tak habis. Amie suruh dia ambil separuh daripada kacang panjang yang Amie beli, dia ambil dua batang aje! Katanya, cukuplah buat ulam.

Sayur pertama Amie nak masak sudah tentulah kacang panjang, sebab sayur ini nampak segar dan memang baru dipetik. Dah terbayang rangupnya bila dikunyah! Sayangnya petang kelmarin Encik Suami tak makan di rumah, jadi Amie tangguhkan masak, bawa ke hari ini. Nak masak pun, kang tak ada yang makan... sebab anak-anak liat betu nak makan sayur!

Senang saja nak habis kacang panjang yang segar dari pokok ni. Masaklah dengan bahan-bahan lain, lepas tu ratah - ratah, jadi taklah membazir! Amie gunakan 3 keping burger ayam bang Ramly sebagai perencahnya, tambah sebatang lobak merah potong bulat dan jagung tin satu cawan.

Bahan-bahan:
7 batang kacang panjang - patahkan @ potong ikut suka
1 batang lobak merah - hiris nipis
1 cawan jagung biji (tin)
3 keping burger ayam - cincang
1 labu bawang besar - cincang
2 ulas bawang putih - cincang
2 sudu makan mentega
1 sudu teh serbuk pati ayam

Cara:
1. Panaskan mentega hingga cair dan tumis bawang besar serta bawang putih hingga layu. 
2. Masukkan burger ayam dan lobak merah. Tumis hingga masak.
3. Tambahkan jagung biji dan kacang panjang. Tutup kuali selama 2 minit supaya kacang panjang berubah warna hijau cantik.
4. Buka penutup kuali dan taburkan serbuk pati ayam.
5. Gaul seketika dan tutup api dapur.

 Jom ratah!

Kuih Kaswi Pandan Sedap






Telah lama saya dok menelek nelek resepi kuih tradisional kkida ni yang dia pelajari dari Bonda Mertua.  Kkida panggil kuih ini sebagai Kuih Talam Pandan tapi saya lebih suka memanggilnya sebagai Kuih Kaswi Pandan kerana rasanya memang seperti rasa Kuih Kaswi dan kedua, bila sebut Kuih Talam Pandan menyebabkan saya terkeliru dengan Kuih Talam Pandan yang mempunyai lapisan hijau dan putih di SINI. Saya tertarik untuk mencuba selepas membaca komen kkida yang ianya sangat sedap. Masa tu saya mencari resepi kuih yang tidak menggunakan tepung gandum kerana masalah allergik. Dah lama pun menyalin resepi tapi asyik tertangguh sahaja untuk membuatnya. Alhamdulillah kerana allergik saya telah pun hilang walaupun ada ketika, masih ada merah di atas kelopak mata. Syukur sangat kerana Allah masih memberi peluang untuk saya menikmati makanan kegemaran saya. Ya lah, bila tak boleh ambik tepung gandum, boleh dikatakan semua makanan pun tak boleh dimakan kerana semuanya menggunakan tepung gandum. 





Kuih ini saya buat kerana rasa macam dah lama tak membuat kuih muih sejak kena berpantang dari memakan makanan yang mengandungi tepung gandum. Asalnya nak buat Kuih Lengat yang menggunakan gula merah dan tepung beras. Resepi dan sukatan hampir sama dengan resepi ini. Tapi biasalah bila pertama kali  membuatnya, pasti ada kesilapan sedikit sebanyak. Adunan pertama, saya dah tersilap letak 1/2 sudu kecil kapur, maka apalagi kuih jadi macam sedikit pahit ke apa ke rasanya. Adunan memang cantik bila dipotong. Tak puashati, bancuh lagi satu adunan. Yang kedua ni, hanya guna air kapur sebanyak 1/2 sudu kecil. Tapi entah kenapalah pulak, kuihnya macam sedikit terlembik sehingga tak boleh hendak dipotong. Ish memang tak puashati. Rasanya lain kali, kena kurangkan air daun pandan ke 3/4 cawan sahaja kot. Namun begitu, rasanya sedap dan secukup rasa jer kemanisannya. Kebetulan anak buah saya Rudy datang ke rumah hantar daging qorban dari Kelantan, jadi saya hidangkan kuih ini bersama teh O. 

Kesimpulannya kuih ini memang sedap dan kalau kat tempat saya ala ala kuih kosui atau ada bau macam tepung hijau dalam kuih lompat tikam. Bezanya kuih lompat tikam tak diletak gula dan tepung gandum dan tidak dikukus. Apa apa pun, terima kasih kkida seorang blogger yang sangat saya segani atas resepi tradisional yang ada class tersendiri ini. 

Jom kita tengok resepi yang mudah dan sedap ini. 



Kuih Kaswi Pandan Sedap

Bahan bahan:
2/3 cawan gula pasir
2 cawan air
1/2 cawan tepung gandum
1/2 cawan tepung beras
3/4 cawan jus pandan (kisar 4 helai daun pandan)*
Secubit garam
1 sudu kecil air kapur - guna 1/2 sudu kecil
Sedikit pewarna hijau

Cara cara:
Masak gula pasir dengan 2 cawan air sehingga gula larut serta mendidih. Ketepikan. 

Dalam periuk lain, satukan semua bahan di atas kecuali air gula dan digaul rata. Setelah bergaul rata, baru dituangkan air gula dan kacau rata. 

Masak atas api perlahan dan kacau sehingga hampir likat. Jangan pekat sangat. Masukkan dalam loyang atau bekas kaca dan kukus selama 20 minit. Saya kukus selama 25 minit.





Hidang dengan parutan kelapa parut muda putih digaul dengan sedikit garam.





Nota:
Resepi asal kkida guna 1 cawan jus pandan. Utk masa depan, saya mahu kurangkan ke 3/4 cawan sahaja. 



Resepi ringkas dan sedap: Pindang Ikan Jelawat

Mmmmmm... cukuplah lauk begini untuk makan tengahari. Masak sekali harung cukup lengkap dengan ikan dan sayur kacang bendi. Hirup kuahnya... sluurrrppp... sluuurppppp ada rasa masam, rasa belacan, pedas... ah! Sempurna!

Biarlah anak-anak tak mahu jamah lauk begini... resepi kampung, rebus-rebus je... tapi sekurang-kurangnya mereka pernah nampak hidangan ini pernah ibunya sediakan. Suatu hari nanti, kalau dah terbuka hati nak makan lauk sihat dan berkhasiat bolehlah jenguk-jenguk dapur maya ini ya anak-anak Mummy sayang.
Jadinya... masakan pindang ini Amie hanya gunakan seekor ikan jelawat, untuk Amie dan Encik Suami makan.

Ikan jelawat ini seberat 500 gram dan nampak masih segar walaupun kami beli di coldstorage. Datangnya pun dari Sarawak. Jadi, sementara stok ikan jelawat masih ada, bolehlah makan puas-puas. Nanti kalau dah tak ada, nak nampak ekor pun susah! 
 
Kali ini Amie gunakan resepi dari buku Masakan Tradisi Kedah, oleh Puan Khatijah Md Yatim. Resepi asal menggunakan ikan pari.... aduuuuussss sedapnya! Amie cuma ada ikan jelawat, jadi Amie teruskan juga hasrat hati nak masak pindang. Lain  kali kalau ada ikan pari Amie nak cuba juga masak cara begini. Sedap kok!

Bahan-bahan:
300 gram ikan pari - bersihkan dan toskan - potong kecil-kecil (Amie gunakan seekor ikan jelawat potong 5 bahagian)
1/2 sudu teh serbuk kunyit
4 cawan air
2 batang serai - ketuk
2 keping asam gelugur
garam secukup rasa

Bahan kisar:
5 tangkai cili hidup - buang biji
2 cm belacan
1 labu bawang besar

Cara:
1. Campurkan bahan kisar, air, serbuk kunyit dan serai dalam periuk dan rebus hingga mendidih selama 5 minit.
2. Masukkan asam gelugur dan ikan.
3. Apabila mendidih, masukkan garam dan serbuk perasa jika suka.
Amie masukkan kacang bendi.