Resepi Sihat dan Berkhasiat : Ikan Jelawat Masak Singgang dengan Air Kelapa!

Bukan selalu kami dapat bekalan ikan jelawat. Nak kata setahun sekalipun susah. Dua atau tiga tahun sekali, itu pun kira nasib! Ikan jelawat di tempat kami datangnya dari Sarawak! Jadi, untuk mengekalkan khasiat ikan air tawar ini Amie seboleh-bolehnya ingin mengolah menggunakan resepi yang mudah dan ringkas supaya dapat menikmati isi ikan ini sepuas-puasnya! Pada fikiran Amie, masakan singgang atau pindang mampu mengekalkan keaslian rasa ikan ini.

Kadang-kadang Amie agak keliru antara 'singgang' dengan 'pindang'. Masa kecil-kecil dulu kalau Ayahanda bawa pulang ikan dari pasar, Bonda selalu masak pindang! Seingat Amie Bonda akan bubuh sedikit saja air bersama garam dan kunyit serta asam! Kemudian Bonda tutup periuk dan masak dengan api perlahan. Kata Bonda, biar ikan jadi 'gempi'. Amie pun tak tahu nak terjemahkan apa maksud gempi... cuma yang Amie boleh katakan di sini, segala bahan akan meresap dalam ikan, dan ia juga bermaksud 'tidak berair atau kurang berair'.

Akhirnya Amie dapat juga maksud istilah pindang dari Kamus Dewan Edisi Empat: Pindang (bahasa Melayu) bermaksud sejenis masakan berkuah daripada ikan dan lain-lain yang dimasak dengan asam (kunyit dan lain-lain). Selain di negara kita, istilah pindang juga digunakan di Indonesia dan juga Brunei. Dalam istilah yang lebih umum (Bahasa Malaysia) masakan pindang membawa maksud ikan yang dimasak dengan asam, kunyit dan lain-lain, berkuah dan tanpa santan. Manakala dalam bahasa sukuan pula (Melanau, Mukah) pindang ialah masakan ikan atau daging dengan sedikit air atau tanpa air, dijerang atas api yang perlahan.

Jadinya, apa pula makna 'singgang'? Rupanya maksud singgang begitu mudah... semudah mengolah masakannya! Singgang membawa maksud : Masakan (ikan dan lain-lain) yang direbus dan digarami!

Tanpa bimbang dan ragu @ sangsi, Amie pun namakan resepi kali ini sebagai Ikan Jelawat Masak Singgang..... dengan Air Kelapa! Bukankah maksud 'singgang' ialah .... yang direbus dan digarami? Cuma, bezanya singgang Amie dengan singgang yang lain ialah penggunaan air kelapa. Amie teringat lebih 10 tahun yang lalu, ketika terlantar sakit (cacar). Banyak pantang dari segi makan minum yang perlu dipatuhi supaya segera sembuh. Encik Suami sediakan beberapa tanda kelapa muda. Hari-hari Amie kena minum air kelapa. Hari-hari juga kena makan ikan air tawar masak rebus! Maklumlah, ikan air tawar terutamanya ikan haruan dipercayai mempunyai khasiat untuk menyembuhkan luka. Suatu hari, dek kerana dah bosan minum air kelapa dan makan ikan air tawar rebus, Amie masak sendiri ikan lampam jawa dengan air kelapa dan masukkan sekali sayur baby kailan di dalamnya. Eh... macam terasa lebih sedap pulak! Terasa manis-manis air kelapa sebagai kuah ikan tadi. 

Amie sayangkan khasiat yang terdapat pada ikan air tawar yang dikatakan kaya dengan protein, vitamin, lemak dan mineral. Untuk mengekalkan khasiatnya, Amie olah ikan jelawat ini dengan cara mudah, dan tidak dimasak terlalu lama. Amie gunakan air kelapa daripada dua biji buah kelapa (lebih kurang 1 liter), dan Amie tambahkan sayur-sayuran di dalam masakan ini.

Bahan-bahan:
1 ekor ikan jelawat seberat 1 kg - bersihkan dan potong ikut suka
1 liter air kelapa muda
1 batang lobak merah - potong ikut suka
10 kuntum baby kailan - potong tengah menjadi dua
1 biji tomato - belah 4
1 labu bawang besar - mayang kasar
2 ulas bawang putih - diketuk
1 batang serai - diketuk
1 sudu teh lada putih - tumbuk
1 keping asam gelugur
7 biji cili padi
garam / perasa pilihan

Cara:
1. Masukkan air kelapa ke dalam periuk dan masak / didihkan di atas api dapur.
2. Masukkan bawang besar, bawang putih, serai, asam keping, lobak merah dan cili padi.
3. Setelah air rebusan mendidih, masukkan ikan jelawat. Masak di antara 5-7 minit.
4. Masukkan sayur baby kailan dan tomato dan lada putih. 
5. Setelah sayur baby kailan layu, perasakan dengan garam / perasa pilihan.
6. Padamkan api dapur.

Nampak tak isi ikan jelawat yang cantik mulus tu? Kuahnya kelihatan berminyak... dan lemak ikan air tawar ini katanya elok untuk kecantikan kulit kita!
Wokeeeyyy... hari ini Amie dapat belajar sesuatu.... masakan singgang ialah masakan yang direbus dan digarami, manakala masakan pindang pula asasnya ialah masakan yang menggunakan asam dan kunyit! Jadi... kalau kuahnya yang putih aje tu masakan singganglah ye hehehe

Anda Perlukan Emotional Support?




Setiap manusia pasti diuji dan berhadapan dengan ujian samada kecil atau besar. Kadang kadang kita dapat menyelesaikannya sendiri dengan memperbanyakkan berdoa pada Allah. Ada ketikanya kita memerlukan seseorang untuk mendengar segala keluhan hati kita. Namun kawan kawan hanya sekadar mampu mendengar tanpa dapat memberi lebih dari itu. Itulah yang menyebabkan ada orang yang akan bertindak di luar batasan dek tak dapat mengawal hati dan perasaan. Tak kiralah perasaan marah, geram, sedih kepada sesiapa sahaja. 

Tapi kini anda semua tidak perlu lagi menyakiti hati dan perasaan sendiri dengan menyimpannya di dalam dada sehingga semuanya menjadi sesak. Jika anda memerlukan bantuan, kini terdapat khidmat nasihat dan kaunseling secara online. Sekiranya anda memerlukan perkhidmatan secara berdepan one on one juga boleh diatur.  

Haa sekiranya anda mahu mengetahui dengan lebih lanjut, bolehlah layari blog My Emotional Support untuk mendapat khidmat nasihat dan bimbingan dari pakar yang bertauliah di dalam bidang ini. Hidup hanya seketika, mengapa mesti sengsara? Carilah jalan keluar mengikut kaedah yang lebih baik serta terbukti keberkesanannya...




Perut @ Babat Goreng... sedapnya ya AMPUUUNNNN!

Asyik terliur-liur je bila teringat perut @ babat @ berubut goreng di dapur Kak Nooriah kat Brunei nuuuunnnnn! Macam sedap... ya nampak macam sedap! Meh kita jenguk jap ke dapurnya DI SINI. Lawa sangat babat goreng Kak Nooriah! Memandangkan masa Amie sangat terhad di dapur, jadi Amie terpaksa cari fikiran untuk memudahkan kerja menggoreng babat ini. Kalau Kak Nooriah celup babat dalam telur dan golek-golekkan atas serbuk roti, Amie pula buat sekali harung memandangkan babat yang Amie gunakan sebanyak 1 kg. Macam banyak je bunyinya kaaannn... Amie tidak perap babat dengan jus lemon seperti Kak Nooriah, sebab babat yang Amie beli babat siap direbus, hanya tinggal hiris dan goreng saja. Terima kasih banyak ye Kak Nooriah kerana sudi kongsi resepi yang sangat sedap ni. Amie ambil idea menggoreng babat daripada Kak Nooriah, tapi bahan gorengan Amie  sedikit berbeza dengan bahan yang Kak Nooriah gunakan.


Bahan-bahan:
1 kg babat @ perut yang siap direbus - hiris nipis
1 cawan tepung goreng rangup jenama Bestari
3 sudu makan tepung jagung
1/2 cawan air 
garam / perasa pilihan jika perlu (tepung goreng rangup sudah ada perasa)
minyak

Bahan tumbuk:
1 sudu makan jintan manis
1 sudu teh lada putih
2 ulas bawang putih
2 cm halia

Cara:
1. Masukkan tepung goreng rangup serta tepung jagung ke dalam sebuah bekas.
2. Kemudian masukkan bahan tumbuk dan air. Adun sehingga sebati. Jika terlalu pekat, tambahkan sedikit air.
3. Panaskan minyak yang banyak di dalam kuali.
4. Celupkan perut ke dalam adunan tepung dan goreng hingga kuning keemasan.
5. Angkat dan toskan.



Mula-mula sekali Fairuz masuk dapur dan bertanya apa yang sedang Amie goreng. Amie tak jawab sebaliknya Amie suruh Fairuz makan. Mmmmm... sedapnya! Amie tanya, apa yang Fairuz makan tu? Fairuz kata... sotong goreng! Ha hahah.... Amie ketawa sendiri bila melihat Fairuz mencari cili sos untuk cicah Perut Goreng! Bila Encik Suami datang, Amie suruh makan sekeping, dan bila Amie tanya, kata Encik Suami.... isi ikankah? Nampaknya tak seorang pun tahu apa yang Amie goreng. Terakhir, Fuad pula yang masuk dapur. Mula-mula katanya... sedaplah! Lepas tu dia tanya Amie, apa benda yang Amie masak? Amie tak jawab, dan dia terus meneka-neka. Pertama, Fuad teka sotong goreng sebab rasanya ada macam getah katanya, kemudian dia kata kalau bukan sotong tentu cendawan! Walllaaa.... semuanya salah. Bila Amie kata perut lembu, Fuad kata, tak kisahlah... yang penting rasanya sangat sedap! Dan... Fuad habiskan lebih 1/3 daripada gorengan Perut @ Babat Goreng kami!

Popia Inti Sedap : Popia Burger Berkeju

Jom cuba resepi Popia Burger Berkeju. Mmmmm... gulung kulit popia belum selesai, inti sudah separuh masuk mulut! Amie jangkakan akan gunakan 40 keping, tapi cuma dapat bungkus lebih kurang 35 keping sahaja!


Sesekali cuba menu ala-ala fusion tak ada salahnya kan. Bukan bertukar pun biji mata hitam kita ke warna hijau biru huhuhuuuuu....  Amie gunakan burger daging jenama bang Ramly, sebanyak 360 gram atau pun 6 keping. Amie tambahkan 3 sudu makan keju parmesan dan 200 gram parutan keju cheddar. Seperti biasa, anak-anak suka lobak merah dan jagung, Amie pun bubuh 1 cawan setiap jenis. 


Bahan-bahan:
kulit popia secukupnya
1 biji putih telur
minyak
secubit garam / perasa pilihan - jika perlu

Bahan inti:
6 keping burger daging - hancurkan
1 cawan hirisan lobak merah
1 cawan jagung tin
1 labu bawang besar - cincang
3 ulas bawang putih - cincang
3 sudu makan keju parmesan
200 gram keju cheddar - diparut

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan goreng bawang putih serta bawang besar hingga wangi.
2. Masukkan burger daging, lobak merah dan jagung. Gaul sebati.
3. Tambahkan keju parmesan dan keju cheddar. Kacau sekali dua, dan padamkan api dapur.
4. Jika suka masin boleh tambahkan garam, tapi Amie tak bubuh sebab burger dan keju sudah cukup rasa.
5.Letakkan inti secukupnya di atas kulit popia, lipat kiri dan kanan dan seterusnya gulung serta lekatkan dihujungnya dengan sedikit telur putih.
6. Goreng popia di dalam api sederhana panas. Bila warnanya kuning keemasan, angkat dan toskan.
7. Hidangkan bersama sos pilihan, atau makan begitu saja.

Mmmm... jom makan! Popia Burger Berkeju memang sedap, kulitnya rangup di luar, intinya berkeju di dalam!

Puding Roti Mudah Dan Sedap






Setelah melihatkan ada baki beberapa keping roti Gardenia yang telah hampir tarikh luput, saya terus ke dapur untuk menyediakan Puding Roti Bakar. Puding roti adalah sejenis hidangan pencuci mulut yang sangat cepat disediakan dan rasanya pun sangat sedap. Ya lah dari dibiarkan membazir begitu sahaja, baiklah dibuat sesuatu yang boleh dinikmati bersama keluarga. Puding ini sangat sedap dimakan begitu sahaja. Kalau tak suka manis, boleh kurangkan gula 2 sudu besar atau guna hanya 1/2 cawan. Semua terpulang kepada citarasa dan selera masing masing.





Sebelum ini, saya telah mencuba 3 resepi Puding Roti. Boleh klik di SINI dan di SINI. Untuk Puding Roti Kukus Pandan pula, boleh klik di SINI. Puding Roti memang sesuai dihidangkan samada untuk sarapan atau untuk minum petang.

Jom kita layan resepi yang saya gunakan hari ini. Saya memang suka membuat Puding roti yang tidak menggunakan kuah kastard. Bukan apa, lebih mudah dan jimat.



Puding Roti Mudah Dan Sedap
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
6 keping roti Gardenia
1/2 cawan kismis - opsyenal
4 biji telur - pukul
1 tin susu cair - boleh ganti 2 cawan susu segar
3/4 cawan gula pasir
1 sudu kecil serbuk kayu manis
1 sudu kecil vanilla extract
2 sudu besar butter

Cara cara:
Panaskan oven pada suhu 170C. Potong roti kecil kecil atau potong 2 sahaja. Sapukan butter pada roti. Atau jika suka, butter boleh juga dicairkan dan dituangkan ke atas roti yang telah disusun dalam loyang.

Susun roti dalam loyang yang telah dilenser dengan butter dan tabur kismis. Susun roti dan tabur kismis lagi sehingga habis.

Di dalam bekas lain, satukan telur yang telah dipukul dengan susu, gula, serbuk kayu manis dan vanilla extract. Pukul sebati dan tuang ke dalam loyang.





Tekan tekankan roti dengan menggunakan garfu supaya ianya terendam di dalam adunan telur dengan sepenuhnya.





Bakar selama 45 minit atau sehingga masak. Sedap dimakan semasa suam suam.








Gulai Lemak Cili Padi Tempoyak Ikan Baung






Gulai lemak cili padi tempoyak ini dimasak oleh Cik gu Asiah, kakak saya menggunakan ikan baung liar yang dibawa balik oleh abang ipar yang sekarang menjadi guru besar di sebuah sekolah di Gua Musang. Cara memasaknya lebih kurang sama dengan masak lemak cili padi Nogori, cuma dimasukkan tempoyak. Pesan kakak, kalau menggunakan ikan laut, bolehlah dimasukkan beberapa biji bawang merah. Kalau mahu tengok, masakan tempoyak ikan sungai kakak saya yang tidak menggunakan santan, boleh klik di SINI. Kakak saya memang pandai memasak sejak dahulu lagi. Apa sahaja yang disediakan, memang sedap dan kena pada selera saya. 

Saya memang kalau balik kampung, akan duduk di rumah kakak dan kalau pun tinggal di chalet, kami akan tetap singgah makan. Dapur rumah mereka memang sangat meriah, sentiasa ada orang didapur, di meja makan atau di ruang keluarga, jadi memasak menjadi lebih seronok. Sambil masak boleh bersembang sembang juga. Jadi kalau lain kali mahu membuat dapur mesti diambilkira ruang keluarga supaya setiap kali kita memasak, ada ahli keluarga bersama sama menemani. 

Jom semak resepi dulu



Gulai Lemak Cili Padi Tempoyak Ikan Baung

Bahan bahan:
2 ekor ikan baung
5 tangkai cili padi - ikut suka pedas
1 inci kunyit hidup
Asam keping
Garam
2-3 sudu besar tempoyak
Santan secukupnya

Cara cara:
Tumbuk cili padi dan kunyit hidup. Masakkan santan dan bahan kisar sehingga rata dan masukkan ikan baung. Sentiasa dikacau. 

Setelah mendidih, masukkan tempoyak yang dibancuh dengan sedikit air. Masukkan juga garam. 

Sesuaikan rasa dan bolehlah diangkat. 





Spaghetti Carbonara

Bahannya
1/2 bungkus spaghetti(kakyah guna angel hair)
Sedikit daun pasli dan daun oregano segar(cincang)
Sedikit minyak zaitun(1 sudu besar)
Panaskan air hingga mendidih dan masukkan spaghetti.
Rebus hingga lembut.
Toskan dan gaulkan dengan minyak zaitun dan daun cincang tadi

Sos
1 tin prego carbonara(kakyah guna mushrom carbonara)
1/2 labu bawang besar(dadu)
3 ulas bawang putih(cincang)
Semangkuk kecil daging kisar
1/2 biji lada benggala(dadukan)
bebola daging secukupnya
Secubit oregano kering
Serbuk lada hitam
Secubit garam
Sedikit air
Minyak zaitun untuk menumis

Panaskan minyak dan tumis bawang putih hingga wangi.
Masukkan bawang besar.  Kacau hingga layu.
Masukkan daging kisar dan gaul seketika.
Masukkan sos prego dan sedikit air.
masukkan bebola daging.  Masak hingga mendidih dan bebola masak.
masukkan oregano, serbuk lada hitam dan lada benggala.
Tambah dengan sedikit garam.

Ikan Bakar Sedap!

Hari ini redup sejak pagi, sebelah tengahari pula mendung dan gelap menjelang petang. Tanda-tanda hujan turun memang nampak ketara tapi titisan gerimis belum kelihatan. Tengah bermalas-malasan ni di depan televisyen, sambil temankan Firdaus tidur. Apa kata kita tengok resepi Ikan Bakar, hidangan kami tengahari tadi. Resepi ini Amie ambil dari blog AZIE  yang katanya dapat dari Restoran Kak Chaq yang terletak berhadapan dengan Mahkamah Kangar. Sebenarnya, Amie panggang ikan dalam oven, bukannya bakar atas arang. Memang niat di hati nak panggang guna arang, tapi rupanya arang pulak dah habis anak-anak gunakan untuk panggang sate minggu lepas. Kalau bakar pakai arang tentu lebih sedap lagi rasa dan aroma Ikan Bakar ni!

Kebetulan pagi tadi sebelum Encik Suami ke tempat kerjanya (haiiyyoooo....hari minggu pun kena siapkan kerja!), sempat pula belikan kami sarapan pagi. Dan katanya, ada ikan kembung dan sayur di dapur. Maklumlah, kita sibuk dengan Firdaus, tak sempat nak tengok apa yang dibelinya. Bila Amie tengok ikan kembung... wah! Masih segar dan cantik! Ada 11 ekor semuanya. Nanti, kalau Firdaus tidur bolehlah Amie buat Ikan Bakar!

Alhamdulillah, ketika Firdaus sedang lena, Amie terus menyelinap ke dapur. Dapat masak nasi, masak sayur dan siapkan Ikan Bakar pun sudah memadai. Bukan apa, Firdaus suka masuk dapur, jadi risau juga Amie kalau tengah buat kerja dapur, tak nampak pula apa yang Firdaus buat di sudut-sudut dapur!

Syukurlah, masa yang diambil untuk memanggang @ membakar ikan tidaklah lama. Bila mata ikan jadi putih dan timbul (macam gambar di atas tu) bermakna sudah masaklah isinya. Tak perlu panggang lama-lama, nanti isi ikan menjadi kering tanpa jus. Fuad makan 3 daripada 11 ekor ikan, dan Amie pun sama juga! Terima kasih buat Azie dan juga Kak Chaq. Mudah-mudahan Allah sentiasa memberi rezeki buat anda berdua.


Azie tidak memberikan sukatan dalam resepi ini, jadi Amie ubahsuai sendiri.

Bahan-bahan:
1 kg ikan kembung - bersihkan - lumur dengan sedikit garam dan kunyit - ketepikan

Bahan perencah:
1/2 cawan pati santan
2 sudu makan cili kisar
1 sudu teh serbuk kunyit
1 sudu teh garam / perasa pilihan
2 sudu makan minyak masak
1 sudu teh susu pekat

Cara:
1. Satukan kesemua bahan perencah.
2. Panggang atau bakar ikan. Setelah ikan masak, lumurkan dengan bahan perencah.
3. Baik-balikkan ikan
4. Bila mata ikan menjadi putih atau tersembul ke atas, angkat.
5. Hidangkan bersama sambal belacan, air asam atau ratah begitu saja.

Strawberry Cheese Pudding Cake

Bahannya
A
Kek Span
125gm vanilla sponge mix
2 biji telur
1/2 sudu besar ovelette
3 sudu besar air
1 sudu besar minyak masak

Caranya
Campur semua bahan(kecuali minyak masak) dalam bekas dan putar hingga putih gebu(7 - 10 minit)
Masukkan minyak masak dan kacau sebati.
Masukkan dalam loyang (9X9 inci) yang telah dialas dengan kertas kek dan bakar dalam oven yang telah dipanaskan terlebih dahulu selama 15 - 20 minit dengan suhu 170C.

B
10gm agar-agar(serbuk)
200ml susu segar
100gm gula pasir
2 biji putih telur
50gm krim cheese
Caranya
Pukul putih telur sehingga menjadi beku dan bertanduk(merringue), kemudian masukkan cheese.  Putar biar sebati.  Ketepikan.
Masak agar-agar bersama susu,  dan gula pasir sehingga mendidih.
Tutup api.
Masukkan adunan ke dalam bekas merringue.  Kacau/putar sebati.
Sejukkan sehingga beku.

Keluarkan kek dari loyang dan buang kertas yang melekat pada kek tersebut.
Masukkan dalam bekas atau loyang yang sesuai(kalau tidak sama dengan ukuran kek, potong dan sesuaikan dengan loyang.
Potong agar-agar cheese tersebut dan tabur di atas kek tersebut.(simpan sedikit untuk hiasan atau diterap dengan cetakan berbunga)

C
10gm agar-agar(serbuk)
1000ml susu segar(kalau tidak cukup tambah dengan susu cair atau yang ni kakyah tambah dengan membancuh sesudu dua susu tepung dan masukkan air..macam buat air susu tuuu)
2 sudu besar strawberry filling
150gm gula pasir
2 biji kuning telur
250gm krim cheese
Pukul cheese sehingga berkrim.  Ketepikan.
Masak agar-agar bersama susu segar, gula dan kuning telur(pukul dengan garfu dahulu) sehingga mendidih.  Tutup api.
Masukkan krim cheese tadi dan kacau hingga sebati
Tuang ke atas kek yang telah ditabur agar-agar keju tadi.  Biarkan membeku sedikit.

D
10gm agar-agar serbuk
500ml air
7 sudu besar strawberry filling
100gm gula pasir
Masak kesemuanya hingga mendidih.
Tuangkan ke atas adunan yang membeku sedikit tadi.
Untuk hiasan letak lebihan agar-agar keju tadi di atasnya.
Bekukan.
P/s..Penggunaan gula mengikut kemanisan strawberry filling..untuk yang ini kakyah buat pes strawberry sendiri..dengan memasak buah strawberry bersama gula hingga buahnya hancur dan kelihatan seperti jem.





Ayam Masak Lemak Kencur

Tiba-tiba teringat ayam panggang disiram dengan kuah santan cili padi bubuh kencur! Aduhai... alangkah bertuahnya kalau dapat menikmatinya, dan tiba-tiba ada di depan mata! Mana mungkin! Pucuk dicita, ulam pun tak mahu datang ha ha haha... ayam panggang siram kuah santan bubuh kencur itu merupakan salah satu masakan istimewa di kampung kami, terutamanya jika ada kenduri. Jadi, kalau nak makan kenalah usaha sendiri. Malas nak panggang ayam, masak sajalah gunakan bahan yang sama tapi berbeza cara olahannya. Dan satu lagi, malas nak masak sayur, Amie tambahkan labu manis dalam masakan ini.

Alhamdulillah.... Fairuz kata sedap! Sangat sedap! Mungkin sebab dah kelaparan kot.... he heheh tapi ikut selera Amie memanglah sedap. Maklumlah dah biasa dengan aroma dan rasa kencur, jadi tak ada masalah. Kombinasi santan dengan cili padi serta isi kencur memang mampu mengundang selera untuk menambah dalam hidangan! Dan, dengan kehadiran labu manis turut menjadikan rasa masakan ini begitu unik, sebab timbul kemanisan yang asli pula!
Jom tengok resepinya di bawah ini.

Bahan-bahan:
800 gram daging ayam - potong ikut suka
1 cawan labu manis yang dipotong dadu
200ml santan pekat
400ml santan cair
minyak
garam / perasa pilihan

Bahan tumbuk:
1 genggam cili padi hijau
kunyit hidup sebesar ibu jari
5 ketul isi kencur 
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah


Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan tumis bahan tumbuk hingga terbit bau.
2. Masukkan daging ayam dan gaul seketika dengan bahan tumis sehingga berubah warna atau daging ayam layu.
3. Tambahkan santan cair dan biarkan sehingga daging ayam masak atau empuk.
4. Masukkan labu manis dan masak sehingga empuk.
5. Kemudian masukkan santan pekat, diikuti garam / perasa pilihan.
6. Kacau sekali sekala supaya santan tidak pecah, dan padamkan api dapur setelah kuah mulai pekat.

Sedap Nyeer Kuih Bakar Kemboja




Kuih Bakar Kemboja adalah salah satu dari jenis kuih muih kegemaran saya terutama di bulan Ramadhan. Kuih Bakar yang dijual di cafetaria, memang sangat sedap. Sesuai jer dari segi kelembutan dan kemanisannya dengan citarasa saya. Kuih ini jika keras dan tak lemak, memang tak sedap. Mengikut resepi yang diolah oleh Syazwani, air jus daun pandan, boleh ditambah 1/4 cawan lagi bagi mendapatkan kuih yang lembut. Atau sebagai alternatif, boleh tambah 1 biji telur. Tapi saya memilih untuk menambah 1/4 cawan santan. Haa ada cerita disebalik santan ni. 




Pagi pagi selepas kuliah Dhuha di surau, saya dan Boy ke Albi Petzone Puchong untuk menghantar Demy ke rumah Isam. Pagi pagi lagi jalan raya dah jam di sana sini, bayangkan hampir setengah hari berada di jalan raya. Semasa dalam perjalanan balik, saya teringin nak makan nasi Ayam Kak Laily, lalu Boy singgah di Pasar Subang Jaya. Waktu dah tengahari, jadi banyak gerai yang telah ditutup. Saya tercari cari gerai menjual santan kerana mereka sedang membersihkan gerai. Melihat saya tercari cari, tuan punya gerai memberi saya 2 pek plastik santan secara percuma. Jadi saya pun mengucapkan terima kasih dan memberitahu yang saya akan membuat kuih untuk dihantar ke surau. Mendengar itu, beliau menggantikan dengan satu pek plastik besar santan. Itulah, makanya santan mewah dalam kuih ini. Semoga Allah memberikan mereka ganjaran yang besar dengan sikap pemurah. 





Kuih ini juga antara kuih pilihan saya bila setiap kali memikirkan apa kuih yang hendak dibuat sebab ianya sangat cepat menyediakannya dan juga sangat sedap. Sebenarnya inilah kali pertama, saya membuat Kuih Bakar menggunakan acuan Bahulu Kemboja dan menggunakan dapur gas pula. Hati sangat teruja melihat ianya berkerak seperti yang dijual di kedai selama ini. Kalau bakar menggunakan oven, hanya permukaan atas yang garing, sedangkan bawah dan keliling tak menjadi garing berkerak pun. Hahaha tapi ada satu tu terlebih kerak, gara gara terlupa nak kecilkan api. Biasalah kan...manusia mana ada yang sempurna. Kesempurnaan hanya milik Allah.

Jom layan resepi dulu yang telah diolah oleh Syazwani Adnan. Terima kasih berbanyak banyak kerana berkongsi ilmu yang bermanafaat....




Kuih Bakar Kemboja

Bahan bahan:
2 cawan tepung gandum
2 1/2 cawan santan 
1 cawan jus pandan 
1 cawan gula - saya guna 3/4 cawan
2 sudu besar butter - cairkan
3 biji telur 
1/2 sudu kecil garam
Pewarna hijau
Sedikit bijan - untuk ditabur

Cara-cara:
Campurkan semua bahan dan blend sampai sebati dan tepung tidak berbintil. 

Panaskan acuan kuih terlebih dahulu di atas api dapur. Kalau mahu elakkan dari adunan melekat pada loyang, penuhkan loyang dengan minyak masak. Lepas tu panaskan sehingga keluar asap (betul betul panas). Kemudian tuang (keluarkan) minyak tu dari acuan. Kecilkan api sekecil kecilnya. 





Lenser minyak atau butter pada acuan dan tuang adunan ke dalamnya. Kemudian taburkan bijan di atasnya.





Masak sebentar di atas dapur gas selama 5-10 minit dengan api yang sangat kecil bertujuan untuk dapatkan kulit yang agak garing. Kemudian sambung bakar kuih di dalam oven suhu 180C selama 30 - 40 minit hingga permukaan kuih nampak keperang-perangan.






Bila dah sejuk, bolehlah dipotong mengikut bentuk acuan. Untuk adunan di atas, menghasilkan 4 biji Kuih Bakar Kemboja yang bila dipotong, dapat 32 keping.





Sambal Tumis Telur Rebus




Banyak betul dugaan yang datang bertimpa timpa sekarang. Dengan pemergian Bonda, dengan Rizky yang jatuh sakit dan perihal pengajian dan pekerjaan anak anak dsb. Baru malam tadi, kami membawa Rizky balik setelah dipantau oleh doktor selama beberapa hari. Hari ini pulak, dia menghilangkan diri. Setelah puas mencari di merata rata, akhirnya terjumpa tempat dia menyorok. Seperti biasa, hubby juga yang menemuinya. Memang sangat risau, kerana Rizky belum betul betul pulih, masih belum mahu makan. Habis kotor badannya dan dia belum boleh dimandikan untuk mengelak dari bertambah stress. Ingatkan manusia jer stress ya. 

Malam tadi semasa Kuliah Ustaz Salam dikongsikan berkenaan dengan manusia yang membuat penganiyaan dan kezaliman pada orang lain, mati sebelum meminta maaf. Dia akan didakwa di hadapan Allah. Di kala itu, semuanya tidak boleh dibayar dengan harta benda lagi. Sebaliknya mereka mahukan gantirugi dalam bentuk pahala kita. Di saat kita juga sangat memerlukan pahala. Jika pahala kita tidak  mencukupi, kita akan menanggung dosa orang yang dianiayai. Inilah contoh manusia yang bankrup di akhirat. Jadi beringat ingatlah kerana dosa dengan manusia mesti diselesaikan dengan manusia. Jika dosa dengan Allah, boleh bila bila masa bertaubat. Jika diri dirasakan berkuasa di dunia ini, jangan salahguna kuasa kerana dunia hanyalah persinggahan sementara. Sesungguhnya jawatan itu Amanah dan Amanah itu "Parah", iaitu berat....

Selepas 2 kali melihat Kak Azaria menayang gambar masakan Sambal Tumis Telur Rebus yang dimasaknya menjadikan saya sangat sangat ingin memasaknya. Warnanya kemerahan yang sangat cantik. Saya menunggu masa yang sesuai kerana kami telah lama tak memasak makanan berat berat di rumah kerana semua dah tak makan nasi. Semasa sedang mengaji, hubby menghantar gambar ikan terubuk yang sedang dibakar. Dalam hati berkata, elok juga memasak nasi dan disediakan Sambal Tumis Telur ni. Ada lah alasan untuk memasak nasi dan lauk lauk. Selain Sambal Tumis Telur  rebus, saya juga menyediakan Telur Ikan Goreng Berempah. 

Hmmm sebenarnya tak berapa puashati kerana Sambal Tumis saya tidak secantik sambal tumis yang dimasak Kak Azaria. Saya menggoreng telur rebus yang dikupas terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam sambal tumis.

Jom kita tengok resepi dulu....



Sambal Tumis Telur Rebus

Bahan bahan:
4 biji telur rebus - kupas dan goreng
8 tangkai cili kering
6 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
Asam keping
Gula
Garam

Cara cara:
Bawang bawang dan cili dikisar lumat. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga cili benar benar masak.

Masukkan gula terlebih dahulu dan kacau rata. Selepas itu, masukkan sedikit air, garam dan asam keping.

Sesuaikan rasa dan kepekatan. Bolehlah masukkan telur dan dikacau rata. Boleh tutup api dan sedia untuk dihidangkan.




Kek Red Velvet Yang Gebu dan Moist






Kek Red Velvet ini disediakan Juita untuk harijadi kawan sekolahnya. Memang kalau bab membuat kek, Juita lebih handal dari saya kerana dia selalu mem baking lebih dari saya sendiri. Malahan jika teringin untuk makan kek, saya juga akan meminta Juita yang membuatnya untuk saya. Namun kini saya mengurangkan aktiviti Juita di dapur kerana dia akan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun ini. 





Resepi ini memang yang terbaik dan kami sangat berpuas hati dengan kejadiannya. Pendek kata tak perlu bertukar dengan yang lain. Moist, gebu dan secukup rasa sahaja kemanisannya. Memang sangat menepati citarasa untuk sepotong kek. Boleh klik di SINI untuk melihat a keeper recipe for Red Velvet kami.  

Hari ini kita layan gambar gambar kek yang Juita sediakan sahaja. Nak resepi kena klik link di atas.  





Nasi Mandy

Nasi Mandy
3 cawan beras  moghul basmati
2 labu bawang besar(belah 4)
Setengah ekor ayam (potong kecil)
1 sudu teh jintan manis(tumbuk)
1 sudu teh lada hitam(tumbuk)
2 sudu teh ketumber(tumbuk)
2 sudu teh serbuk kunyit
1 sudu teh rempah all spices
3 helai daun bay
4 cawan air
Pewarna kuning
Buah kismis
Minyak zaitun untuk menumis

Tumis bawang besar dengan minyak zaitun...Bila sedikit layu masukkan rempah yang telah ditumbuk tadi.
Masukkan juga serbuk kunyit, daun bay, rempah all spices dan ayam.
Masukkan air, gula dan garam.
Masak selama 45 minit atau ayam menjadi begitu lembut.
Bila masak padamkan api.
Beras dicuci dan ditoskan
Susun ayam di dasar periuk., diikuti dengan beras dan tuang air rebusan ayam tadi.
Masak seperti biasa.
Apabila nasi sudah masak, titikkan sedikit pewarna kuning pada nasi tersebut. Masukkan juga buah kismis..  Biarkan.  Jangan digaul lagi.(biarkan sekurangnya 20 minit)
Gaulkan dan boleh dihidangkan bersama ayam tadi dan lauk pauk yang sesuai.

Dalca
Ketulan ayam bahagian bertulang
5 ulas bawang merah(kisar)
3 ulas bawang putih(kisar)
Sedikit halia(kisar)
1 biji buah tomato(potong dadu)
5 batang kacang panjang(potong 2 inci)
Sebatang carrot(potong memanjang)
3 biji ubi kentang(belah/ potong bersesuaian)
1 biji cili merah(potong 2)
Sebatang kulit kayu manis
Sekuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
2 sudu besar rempah daging babas
3 cawan santan
1 sudu besar cili giling
1 sudu besar air asam jawa
Minyak untuk menumis
Gula dan garam

Tumis bahan blender/kisar dan masukkan juga cili giling.  Biar sampai pecah minyak.
Masukkan rempah kari, buah pelaga, kulit kayu manis dan bunga lawang.  Kacau seketika dan berbau wangi(kalau perlu,  masukkan sedikit air)
Masukkan buah tomato tadi dan kacau biar mesra dengan bahan tumis tadi.
Masukkan santan dan ayam serta air asam jawa. 
Masukkan ubi kentang. 
Masukkan gula dan garam  Biar sampai mendidih (agak lama mendidihnya)
Masukkan cili dan sayuran lain.  Biar mendidih sekali lagi.

Acar
Timun (buang bahagian tengahnya dan dadukan)
Carrot(dadukan)
Lada benggala(dadukan)
Tomato hijau(buang bijinya dan dadukan)
Bawang besar(dadukan)
Cuka
Daun herba seperti oregano, theme dan daun ketumbar(potong halus)..sikit aje ni..
Gula dan garam

Gaulkan kesemuanya..biar ada sedikit masam, dan manis.
(maksud dadukan bukan dadu yang kecil tapi agak besar sikit..spt gambar)

Sambal cili
2 biji cili merah
Sebiji buah tomato
1/2 biji lada benggala
1 sudu besar sos cili
Sedikit cuka
Gula dan garam
Sedikit air masak untuk memudahkan kita menmgisar/blender.
Beberapa helai daun pudina.

Blender kesemuanya hingga hancur.
(kakyah masukkan sedikit minyak zaitun)



Telur Ikan Goreng Berempah Sedap





Saya makan lauk yang menggunakan resepi ini yang dimasak oleh Hafizah, wife Tuan Hairani ini dah lebih dari 10 tahun sewaktu mereka ikut kami bercuti di Port Dickson. Kebetulan saya dapat book banglo di Port Dickson yang sangat besar dan cantik, jadi ke sana bersama keluarga sahaja agak terasalah sunyinya. Semasa di sana, kami dihidangkan dengan lauk Ayam Goreng Berempah yang mereka bawa. Oleh kerana ianya sangat sedap, cepat sahaja habis dimakan oleh anak anak. Saya terus belajar cara cara menyediakannya dan ajar pula kepada pembantu rumah kami. Oleh kerana pembantu rumah telah mahir, jadi saya pun tidak merasakan perlu untuk menyalin resepi mudah ini. Masalah timbul bila pembantu rumah kami telah berhenti dan hubungan dengan Hairani juga telah terputus. Saya memang teringin sangat untuk memasak lauk yang simple tapi sedap itu. Asyik teringat ingat kesedapannya dan menyesal sebab tak menyalin resepinya dulu di dalam buku masakan.





Sekian lama mencari, baru setahun lepas dapat menemui Hafizah dan Hairani di majlis rumah terbuka Dato Salehuddin di Shah Alam. Sekali lagi bertemu sewaktu mereka mengunjungi rumah terbuka kami bulan Ogos yang lalu. Saya tidak mahu lagi terlepas peluang, lantas meminta nombor telefon mereka. Haaa akhirnya resepi berada di tangan lagi. Setelah diolah, saya pun memasaknya hari ini dan berkongsi pula dengan pembaca semua. Tapi hari ini, saya tidak menggunakan ayam sebaliknya menyediakan Telur Ikan Goreng Berempah. Sedaaapp... Ooh selain ayam, sedap juga menggunakan daging untuk resepi ini.

Jom layan resepi di bawah ini...




Telur Ikan Goreng Berempah

Bahan bahan:
Telur ikan  
2-3 sudu besar serbuk rempah kari ikan
3 pelepah daun kari
1 biji bawang besar - hiris
1 sudu besar halba campur
4-5 tangkai cili kering - gunting kecil
Garam
Serbuk kunyit

Cara cara:
Telur ikan digaul dengan serbuk rempah kari, garam dan serbuk kunyit. Diperap selama 30 minit.

Goreng bawang besar dan kemudian masukkan cili kering, daun kari dan akhir sekali masukkan halba campur. Bila wangi, tutup api. 





Goreng telur ikan berasingan. Akhir sekali, campurkan telur ikan yang telah digoreng bersama bahan yang digoreng tadi. Kacau rata. Sedia untuk dihidangkan.






Kuih Bom Inti Kacang Hijau Sedap





Orang beriman akan tengok apa pengakhiran. Jika di akhir, kita ingin hidup kekal di syurga, kita akan merasa dunia adalah sementara sahaja. Anggapkan diri kita sebagai seorang ahli kubur, kerana di dunia hanya tempat melintas sahaja. Jika kita ada rumah, fikirkan berapa lama kita mahu tinggal di rumah berbanding dengan tempoh kita akan tinggal di dalam kubur. Lihatkan nenek moyang kita atau mereka yang telah lama meninggal dan kirakan berapa lama mereka telah berada di dalam kubur. Sesungguhnya orang yang bijak ialah orang yang banyak mengingati mati dengan membuat persiapan untuk menghadapi kematian. Dengan banyak mengingati mati, akan melenyapkan nafsu dan kesombongan kerana Allah tidak suka manusia yang sombong. Cerminkan diri dan buat muhasabah diri.

Orang orang mukmin tidak pernah berputus asa dengan ujian dan dugaan yang melanda kerana tahu semua yang terjadi, telah ditetapkan Allah. Mereka akan sentiasa bersyukur dengan nikmat yang Allah kurniakan serta redha dengan takdir Allah. Justeru kenalah sentiasa tenang dan berlapang dada menempuh ujian dengan memperbanyakkan sabar dan solat serta berdoa. Ini adalah kerana doa adalah senjata bagi orang mukmin.

Terdapat lebihan inti kacang dari kuih Asam Guppa di SINI yang saya simpan dalam freezer. Oleh kerana masa cuti Hari Malaysia, kami tak ke mana mana sebelah petangnya, jadi saya ke dapur menyediakan separuh adunan doh untuk dibuat Kuih Bom. Dapatlah 9 biji kuih bom yang bersaiz sebesar biji ping pong. Sebelah pagi saya dan Nelly ke rumah Suraya yang mengadakan majlis tahlil sempena pemergian beliau dan anak lelakinya ke Tanah Suci. Sebelum itu, kami singgah rumah Kak Elani mengambil pembaris dan pisau pemotong kuih muih yang dibeli dari Chef Asma.





Siap jer menyediakan kuih, saya terus menggoreng kerana dah tak sabar nak makan. Seperti dijangkakan, bom telah meletup sedikit. Sebaiknya kuih bom dibiarkan beberapa jam dalam bekas bertutup sebelum digoreng supaya ianya tidak meletup. Tak apalah, nama pun kuih bom kan. Mestilah bom yang hidup menghasilkan letupan. Yang penting, kuihnya sedap dan lembuuut jer. 

Jom layan resepi dulu. Boleh klik di SINI, untuk kuih Bom yang saya sediakan sebelum ini.... 




Kuih Bom Inti Kacang Hijau

Bahan Doh:
2 cawan tepung pulut
2 sudu besar tepung gandum
Sedikit garam
1 cawan air 
Bijan secukupnya - untuk salut 

Cara membuat doh:
Satukan tepung pulut, tepung gandum dan garam. Bancuh dengan air sedikit sedikit hingga menjadi doh yang tak melekat di tangan. Jika terlembik, tambahkan setengah sudu tepung beras pulut setiap kali memasukkannya.



Inti Kacang Hijau:
250 gm kacang hijau - rendam
1 keping gula Melaka
1/2 cawan gula pasir
Sedikit garam

Cara membuat Inti:
Masak kacang hijau bersama air secukupnya hingga kembang, biarkan sehingga airnya hampir kering dan kacang hancur. 
Masukkan gula melaka, garam dan gula, kacau rata dan biarkan hingga kering. Sesuaikan kemanisan, jika suka lebih manis boleh tambah gula. Angkat dan sejukkan. Bila sudah sejuk kepal inti bulat bulat

Nota;
Boleh masukkan kelapa parut dan tepung gandum, jika suka. 

Lebihan boleh disimpan di dalam freezer untuk dibuat inti kuih lain seperti kuih ketayap, koci dsb.


Cara membuat kuih bom:
Sapu sedikit minyak pada tapak tangan. Ambil adunan, leperkan dan masukkan inti kacang hijau yang telah di kepal bulat bulat tadi. 




Cantumkan bahagian leper tadi hujung ke hujung. Bulatkannya dengan kemas. 

Terus digolek golek ke dalam bekas bijan hingga seluruh kuih diselaputi bijan. Akhir sekali layangkan antara 2 tapak tangan agar bijan yang tidak melekat akan jatuh dengan sendiri. 






Goreng kuih bom dalam minyak terendam dengan api sederhana pada 5 minit permulaan. Kemudian baru besarkan api sambil kacau digolek golek dalam kuali sehingga agak kekuningan. Jangan lama, nanti meletup.

Boleh simpan di dalam freezer jika ada baki kuih bom.

Nota Dari Jurnal Resepi Bdaria:
Jangan terus goreng kuih bom yang telah siap dimasukkan inti. Jika anda terus goreng selepas buat....kuih bom anda akan mengelembung dan pecah (tersengih dan keluar inti) serta 'meletup'. Kuih anda tidak cantik dan ia jugak tidak garing.

Jika buat malam, biarkan dalam dulang dan tutup dengan kain bersih. Goreng pagi esoknya. Jika nak makan petang.....buat pagi dan goreng petang. Ini sahaja rahsianya.